Bekas pelajar MRSM Jasin bangunkan Pandai, aplikasi edtech dengan elemen gaming


  • Bisnes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pandai turut menggabungkan sistem penebusan ganjaran di mana pelajar memperoleh hadiah seperti e-baucar selepas menyiapkan kuiz.

DI kebanyakan negara Asia, peperiksaan memainkan peranan penting dan menjadi penanda aras dalam sistem pendidikan. 

Begitu juga Malaysia di mana keputusan akademik yang cemerlang sering membuka peluang kepada biasiswa, pendidikan tinggi dan kerjaya yang lebih baik.

Oleh sebab itu, syarikat teknologi pendidikan (edtech) Malaysia, Pandai Education, mahu memanfaatkan teknologi bagi mencipta penyelesaian pembelajaran yang membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka.

BACA LAGI: Mural warna-warni Gunung Pulai ceriakan bandar Kulai sempena Visit Johor 2026

BACA LAGI: Graduan UTS harumkan nama Malaysia, dipilih ahli lembaga pengarah Toastmasters International

Pandai menyediakan kandungan berkesan dan menyeronokkan yang boleh disesuaikan dengan keperluan pelajar secara individu.

“Dengan menyokong pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih baik, kami membantu mereka membuka potensi penuh mereka,” kata Raja Nazatul Akhma, pengasas bersama Pandai Education.

Aplikasi online, Pandai, dengan pantas menjadi alat pendidikan pilihan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah yang mencari kandungan pembelajaran berkualiti tinggi.

Menawarkan kuiz, ujian, peperiksaan, nota dan video yang menarik serta dilengkapi dengan ciri inovatif seperti penjejakan prestasi dan gamifikasi, Pandai bertujuan untuk merapatkan jurang ketidaksamaan pendidikan.

Nazatul bersama pengasas bersama Pandai, Khairul Anwar Mohamad Zaki, Mohd Suhaimi Ramly dan Mohd Akmal Akhpah, bertemu sewaktu di MRSM Jasin (kini MRSM Tun Ghaffar Baba).

Mereka menceburi bidang pendidikan lebih 15 tahun lalu, membawa masuk pertandingan akademik antarabangsa yang terkenal seperti Kangaroo Maths dan Beaver Computational Thinking.

“Walaupun pertandingan berasaskan kertas ini berjaya menarik pelajar berprestasi tinggi, kami sedar potensi untuk menjangkau dan memberi manfaat kepada kumpulan yang jauh lebih luas.

"Ia dengan memanfaatkan teknologi agar pembelajaran menjadi lebih mudah diakses dan menyeronokkan,” kongsi Nazatul yang juga Ketua Pegawai Produk Pandai Education kepada StarBiz 7.

 

 

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman dalam bidang pendidikan, mereka mengenal pasti tiga kekangan utama yang menghalang pelajar dalam proses pembelajaran.

Ia meliputi ketidakupayaan belajar mengikut kadar dan gaya sendiri, kurang motivasi untuk belajar dan cara analisis kemajuan yang tidak mencukupi.

Penyelesaian mereka ialah Pandai, sebuah aplikasi pendidikan yang menyediakan kandungan berkesan dan menyeronokkan yang boleh disesuaikan dengan keperluan pelajar secara individu.

Dilancarkan pada 2020, platform tersebut bermula dengan menawarkan kuiz matematik dan sains yang dikeluarkan setiap hari. 

Secara beransur-ansur, kandungannya diperluaskan kepada lebih banyak subjek dan tahap untuk memenuhi permintaan pengguna yang lebih meluas.

“Kini, kami mempunyai dua mod utama – kuiz berdasarkan tahap dan penguasaan topik dengan soalan tanpa had. 

"Pelajar melihat progres berdasarkan analitik prestasi mereka sendiri, memberikan mereka kawalan lebih besar terhadap perjalanan pembelajaran,” jelasnya.

Hari ini, aplikasi Pandai mempunyai 1.25 juta pelajar berdaftar dengan lebih 2.5 juta soalan diselesaikan setiap minggu.

Platform itu beroperasi dengan model langganan berbentuk freemium, yang merangkumi dua tahap berbayar dengan kandungan dan ciri pembelajaran tambahan.

Perniagaan itu juga bekerjasama dengan syarikat tertentu sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat melalui model penajaan perniagaan-ke-perniagaan.

Ia membolehkan mereka membiayai akses Pandai Premium untuk sekolah terpilih dan pelajar yang kurang bernasib baik.

Seperti banyak aplikasi pembelajaran lain, Pandai menggunakan elemen gamifikasi dan persaingan untuk menarik dan memotivasikan pengguna.

Selain ciri seperti duit syiling dalam aplikasi, kuiz sosial masa nyata dan papan pendahulu yang kompetitif, platform tersebut turut menggabungkan sistem penebusan ganjaran di mana pelajar memperoleh hadiah seperti barangan dagangan dan e-baucar selepas menyiapkan kuiz.

Raja Nazatul Akhma.

Bagi Nazatul, satu aspek yang membezakan Pandai ialah kandungan yang menyeluruh dan berasaskan kurikulum.

“Banyak platform gamifikasi lain berfungsi terutamanya sebagai alat, yang memerlukan guru menghasilkan atau memuat naik bahan sendiri,” katanya.

“Sebaliknya, kandungan Pandai sejajar dengan kurikulum kebangsaan Malaysia untuk semua subjek teras, menjadikannya terus boleh digunakan dan sedia untuk bilik darjah bagi pelajar dan pendidik,” jelasnya.

Untuk meningkatkan hasil dan keberkesanan pembelajaran, teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan dalam beberapa fungsi seperti analitik prestasi peribadi, laluan pembelajaran yang disesuaikan secara dinamik, cadangan strategi penambahbaikan, penandaan jawapan subjektif, dan chatbot AI sebagai rakan belajar.

“Kesemua ciri ini bekerjasama menjadikan Pandai bukan sekadar aplikasi pembelajaran, tetapi pembantu pendidikan pintar,” ujarnya.

Dalam pembangunan Pandai, Nazatul menekankan bahawa produk itu tidak pernah siap sepenuhnya, sebaliknya sentiasa diubah suai dan dikemas kini.

“Kami sentiasa memperbaiki platform melalui perbualan berkala dengan pengguna kami yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru. 

"Maklum balas mereka secara aktif dimasukkan ke dalam bagaimana kami membina dan meningkatkan aplikasi ini.”

Pandai berazam untuk terus menangani cabaran pendidikan dalam konteks tempatan dan memperdalam usaha ke arah keterangkuman yang lebih meluas.

Salah satu inisiatif utama melibatkan kerjasama dengan guru Pemulihan untuk membangunkan sumber pembelajaran di rumah yang disasarkan bagi menangani penurunan membimbangkan dalam kemahiran literasi dan numerasi asas dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

Pasukan Pandai juga sedang berusaha menjadikan chatbot pembantu belajar berkuasa AI berfungsi secara luar talian supaya mereka yang tiada akses internet tetap dapat memanfaatkan alat pembelajaran interaktif Pandai walaupun di luar waktu sekolah.

“Visi kami adalah menjadikan pendidikan berkualiti boleh diakses, menarik dan boleh diukur untuk setiap pelajar. 

"Kami mahu memperkasakan guru dengan analitik dan alat AI yang mereka perlukan untuk meningkatkan hasil pembelajaran, bermula di Malaysia dan tidak lama lagi di seluruh rantau ini,” tambahnya. — The Star/ NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram