2.3 tan durian meriahkan Hari Keluarga UPSI 2025


  • Massa
  • Rabu, 23 Jul 2025

Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff (empat dari kiri) bersama kakitangan UPSI bergambar bersama durian sebanyak 2.3 tan sempena Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

SEBANYAK 2.3 tan durian diagihkan kepada warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 yang diadakan bersekali dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai, pada Rabu.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pengagihan durian serta pelbagai buah-buahan tempatan itu bukan sekadar sajian istimewa, malah melambangkan kemewahan rezeki, kemanisan kerjasama dan hasil usaha bersama seluruh warga universiti.

“Jamuan ini membawa nilai simbolik serta melambangkan kekayaan biodiversiti negara dan pada masa yang sama mencerminkan budaya berkongsi nikmat sebagai satu komuniti UPSI.

BACA LAGI: [VIDEO] M Nasir terima gelaran doktor, label UPSI antara institusi penyokong seni

BACA LAGI: Nurin Dayana banggakan UPSI, jadi wakil Malaysia ke Nihongo Partners Spring Program

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis berkenaan yang diadakan di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, di Tanjong Malim, Perak.

Beliau berkata, sambutan Hari Keluarga UPSI bukan sekadar acara santai, sebaliknya merupakan manifestasi kepada semangat silaturahim, kebersamaan dan budaya kerja berpasukan yang menjadi nadi kepada kekuatan institusi pendidikan itu.

Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff ketika berucap menyempurnakan Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

“Kita semua adalah satu keluarga besar malah keluarga pendidik. Budaya kerja berpasukan bermula dengan hubungan baik sesama kita. Inilah yang menyuburkan semangat kekitaan dan memperkukuh kepercayaan dalam organisasi," katanya.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Ikatan Persatuan Kesatuan Kakitangan UPSI (JITU) dengan kerjasama Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA), Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA) dan Persatuan Tadbir dan Pegawai Ikhtisas UPSI (PRESTASI), atas usaha menganjurkan program tersebut secara kolaboratif dengan sokongan pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab.

“JITU membuktikan bahawa walaupun berbeza latar belakang dan skop kerja, apabila kita sejiwa, hasilnya luar biasa.

Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff (empat dari kiri) bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama kakitangannya sempena Sambutan Hari Keluarga UPSI 2025 di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

“UPSI perlu terus menyuburkan budaya sokong-menyokong dan memperkasa inisiatif rentas jabatan seperti ini.

Majlis turut menyaksikan peluncuran sistem Integrated Collaboration and Networking System (ICONS) yang dibangunkan oleh Jabatan Strategik UPSI bagi memperkukuh keupayaan kolaboratif seluruh warga UPSI, serta pelancaran Dasar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Pindaan 2025) di bawah Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Acara yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut dimeriahkan dengan penyediaan gerai juadah oleh pelbagai fakulti dan jabatan, selain pelbagai aktiviti kekeluargaan yang menyatukan warga UPSI daripada pelbagai lapisan jawatan dan peranan.

“Hari ini kita bergembira bersama, esok kita terus melakar kecemerlangan bersama. UPSI unggul kerana warganya bersatu dan bekerja sebagai satu keluarga,” ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram