
LULUH hati mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor apabila kembali pulang ke rumah masing-masing untuk melihat keadaan semasa.
Kebakaran yang berlaku pada Selasa memberi kesan buruk kepada perumahan dan kenderaan yang berada di sekitar kawasan kejadian apabila ia menyebabkan kerosakan.
Bagi salah seorang mangsa, Sarah Amira Ahmad Idris, 28, ketika melihat keadaan rumahnya di Jalan 1/3B, Putra Heights, hatinya luluh melihat kerosakan yang dialami.
Mangsa belum dibenarkan pulang ke rumah melainkan sudah benar-benar selamat.
Dia yang mewakili keluarganya untuk meninjau keadaan semasa selepas bekalan elektrik beroperasi semula pada Khamis melihat hidangan Hari Raya Aidilfitri keluarganya masih terletak elok di meja makan.
"Sebaik saja saya masuk ke dalam rumah, baunya memang tak tahan, ia buatkan saya pening kepala. Hidangan raya kami pun masih di atas meja, dan makanan dalam peti sejuk semuanya rosak kerana tiada bekalan elektrik selama dua hari.
"Kami menyimpan stok bahan makanan untuk rumah terbuka pada hujung minggu ini, tapi semuanya sudah musnah," kata Sarah Amira.
Buat masa sekarang, Sarah Amira dan keluarganya terpaksa tinggal sementara di rumah abangnya dekat USJ1, Subang Jaya.
Mujur buat Sarah Amira dan keluarga, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan sewaktu kejadian.
"Dengan segala infrastruktur rosak dan jalan dikawal dengan rapi, bapa saya buat keputusan yang kami sekeluarga terus tinggal di rumah sewa milik abang di USJ1, Subang Jaya buat masa sekarang," katanya.
Kebakaran itu menyebabkan bekalan eletrik terputus di kawasan sekitar dengan 115 rumah terkesan daripada perkara tersebut.
Buat masa sekarang, mangsa tidak dibenarkan pulang ke rumah sekiranya tidak disahkan selamat oleh pihak berkuasa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram