
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan amaran kepada pemandu bas ekspres untuk tidak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu bas yang bertindak sedemikian akan dikenakan denda serta-merta.
Katanya, kesalahan seumpama itu dikesan ketika Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bermula pada Isnin lalu dan berterusan sehingga 8 April nanti.
BACA LAGI: Jika tiada laporan, isu beban guru akan terus hantui sistem pendidikan negara — Anuar Ahmad
Beliau berkata, seorang pemandu bas ekspres berusia 29 tahun ditahan kerana menurunkan penumpang di kawasan larangan iaitu di luar terminal ditetapkan ketika dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Sungai Petani, Kedah.
Manakala, seorang lagi pemandu berusia 27 tahun turut dikesan melakukan kesalahan sama di laluan dari Alor Setar, Kedah ke Kelantan.
"Pemandu itu juga didapati memotong garisan berkembar. Kami mengeluarkan saman kerana mereka berterusan melanggar peraturan.
"Ini bukan sekadar melanggar peraturan. Ia memberi risiko kepada penumpang dan menyebabkan kemalangan serta kesesakan lalu lintas apabila bas berhenti di luar terminal," katanya.
Menurutnya, operasi khas selama 14 hari itu membabitkan 271 anggota JPJ di seluruh negeri yang dibekukan cuti bagi memastikan aliran trafik lancar, selain mengurangkan kemalangan dan kematian semasa musim perayaan.
Beliau berkata, JPJ akan terus memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan trafik utama, termasuk memandu laju, melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tambahnya.
"Saya menggesa pemandu yang pulang ke kampung halaman supaya bersabar di jalan raya, elakkan emosi ketika memandu dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram