
SAFARI malam di Zoo Johor akan dibuka menjelang akhir tahun ini, kata Ahli Majlis Eksekutif Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu berkata, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk fasa kedua meliputi kerja menaik taraf zoo, yang dijadualkan bermula pada suku pertama tahun ini.
“Kami baru sahaja membentangkan cadangan untuk menaik taraf kemudahan seperti ruang letak kereta dan kandang haiwan, yang telah diluluskan.
BACA LAGI: Gaya sedondon 'bridesmaid' penyeri majlis, siapa perlu tanggung kos baju, solekan?
“Setelah kerja-kerja naik taraf selesai, kami menjangkakan 80 peratus zoo akan menjadi lebih mesra warga emas, orang kurang upaya dan golongan ibu bapa yang membawa kereta sorong bayi.
“Selain itu, kami bercadang untuk melancarkan safari malam pada suku keempat tahun ini,” kata Mohd Jafni ketika ditemui oleh StarMetro di pejabatnya di Kota Iskandar.
Bagi menampung jangkaan peningkatan pengunjung dan kenderaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merancang untuk melabur RM10 juta untuk mengubah sebidang tanah di hadapan zoo, berhampiran Jalan Gertak Merah, menjadi tempat letak kereta.
“Sekarang terdapat selekoh kecil di jalan tersebut yang akan diluruskan untuk memberi laluan kepada kawasan letak kereta baharu,” katanya.
Kajian juga sedang dijalankan untuk meneroka penggunaan kawasan letak kereta di hadapan Masjid Sultan Abu Bakar, walaupun tanah itu dimiliki secara persendirian.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
“Kami juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laluan pejalan kaki antara kawasan letak kereta ini dan zoo sebelum safari malam dibuka secara rasmi,” tambahnya.
Mohd Jafni juga berkata, terdapat rancangan untuk menambah 200 ruang letak kereta di tapak Penjara Ayer Molek.
“Kawasan penjara kini menjadi tempat letak kereta utama untuk pengunjung zoo, dengan kira-kira 400 ruang letak kereta tersedia.
“MBJB juga bercadang untuk mengubah bekas penjara itu menjadi pasar malam untuk melengkapkan safari malam,” katanya, sambil menambah bahawa pasar malam itu hanya akan diadakan pada hujung minggu.
Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan safari malam di Zoo Johor untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata, sebanyak 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa telah mengunjungi zoo sejak pembukaannya semula pada 31 Ogos tahun lalu.
Zoo Johor dibuka semula selepas kerja-kerja menaik taraf bernilai RM9.6 juta selama tiga tahun dan menempatkan 373 haiwan daripada 65 spesies. — TheStar/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram