
SEORANG wanita yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Bintang, Sitiawan, dekat Manjung, Perak sejak 10 Januari lepas berjaya ditemui di Kajang, Selangor pada Rabu.
Difahamkan, wanita berusia 48 tahun berkenaan selamat pulang ke pangkuan keluarganya atas bantuan orang awam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, mangsa, Ling Siew Siew disahkan berada di Kajang oleh ahli keluarganya yang memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
BACA LAGI : [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
BACA LAGI : [VIDEO] Berang isteri tak dibenarkan cuti, suami 'ambush' pengurus pasar raya dengan penyodok di Brazil
"Menurut kakak wanita itu, Ling ditemui oleh orang awam yang melihatnya berada di sebuah medan selera di lokasi tersebut selama dua hingga tiga hari.
"Dia dilaporkan berlegar-legar keseorangan dalam keadaan bingung dan keliru.
"Selepas itu, orang awam bertemu dengannya, bertanya beberapa soalan, dan memperoleh maklumat mengenainya. Mereka terus menghubungi ahli keluarga kerana berita kehilangannya telah tersebar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, pada 13 Januari lepas, Ling dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya.
Dia dipercayai memandu sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru ketika kejadian.
Ling, yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, mempunyai masalah kemurungan dan masih menerima rawatan di Hospital Manjung dan kali terakhir dilihat di sebuah gereja di Kampung Cina, berhampiran rumahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram