
SERAMAI 80 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan berkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) masih berada di institusi bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun itu merupakan perkembangan positif, kementerian meminta ibu bapa kandung bagi kanak-kanak yang masih berada di institusi tersebut untuk datang menuntut anak mereka.
“Sesetengah ibu bapa telah menunjukkan minat untuk menuntut anak mereka, namun atas sebab yang tidak diketahui, mereka masih belum berbuat demikian.
“Kanak-kanak ini sepatutnya disatukan semula dengan keluarga mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem e-Pembelajaran Perkhidmatan Sosial dan portal rasmi Institut Sosial Malaysia pada Khamis.
Nancy meminta ibu bapa kandung bagi kanak-kanak yang masih berada di institusi JKM untuk datang menuntut anak mereka.
Nancy berkata, daripada 80 kanak-kanak yang tinggal di institusi, enam daripadanya ditempatkan di institusi jabatan tersebut selama tiga tahun mengikut perintah mahkamah.
"Selain itu, 74 kanak-kanak lagi masih berada di institusi jabatan secara sementara," katanya.
Sehingga Rabu, Nancy berkata, seramai 475 kanak-kanak telah dipulangkan kepada keluarga mereka sementara lima lagi ditempatkan di bawah penjagaan yang sesuai.
Pada September tahun lepas, serbuan dilakukan ke atas rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISB.
Laporan sebelum ini mendedahkan kanak-kanak-kanak itu mengalami penderaan yang amat dahsyat, termasuk disodomi dan dipaksa untuk melakukan perkara yang sama ke atas kanak-kanak lain di rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Beberapa individu yang terlibat dengan GISB, termasuk pegawai atasan mereka, telah didakwa di mahkamah.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) juga telah mengisytiharkan bahawa ajaran, kepercayaan, dan ideologi GISB adalah sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram