Najib akui pernah bersemuka tegur Jho Low persoal gaya hidup mewah


Najib berkata, beliau tidak selesa dengan gaya hidup Low dan membuat keputusan bersemuka dengannya.

DATUK Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau pernah bersemuka dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low berhubung gaya hidup mewahnya yang dilaporkan secara meluas.

Bekas perdana menteri itu memberi keterangan bahawa dia menyedari reputasi Jho Low pada masa itu, ketika cerita tersebar mengenai perbelanjaan mewah dibuat untuk hartanah dan lukisan.

Media melaporkan ahli perniagaan itu melakukan pembelian besar untuk memiliki sebuah 'penthouse' di New York, sebuah rumah agam di Beverly Hills, dan karya seni oleh Monet dan Andy Warhol.

BACA LAGI : Hanya Lembaga Pengampunan boleh dedah minit perbincangan pengampunan Najib — Dr Zaliha

BACA LAGI : Kami hanya diberitahu pengurangan tempoh penjara Najib, bukan mengenai tahanan di rumah — Saifuddin Nasution

Najib berkata, beliau tidak selesa dengan gaya hidup Jho Low dan membuat keputusan bersemuka dengannya.

"Dia (Jho Low) terus mengatakan bahawa dia melakukan ini (pembelian) untuk Sheikh Mansour (bin Zayed Al Nahyan).

"Itu penjelasannya kepada saya," kata Najib semasa pemeriksaan balas bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM2.28 bilion pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mencadangkan bahawa Najib, yang berada di 'kedudukan tertinggi' mempunyai kuasa untuk menyiasat kebenaran dakwaan Jho Low.

Jho Low ketika ini masih berada dalam buruan.

Najib bagaimanapun menjawab bahawa siasatan sedemikian akan melibatkan kerajaan lain, kerana Sheikh Mansour adalah abang kepada Putera Mahkota Abu Dhabi.

Bekas Perdana Menteri itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau sengaja mengelak mencari kebenaran tentang Jho Low.

Muhammad Mustaffa: Anda menutup mata kerana tidak mahu tahu perkara yang jelas.

Najib: Saya tidak bersetuju. Sebab itu saya bersemuka dengannya.

Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.28 bilion sebagai suapan daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah petang ini. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram