Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula Ahad


  • Primer
  • Sabtu, 11 Jan 2025

PLKN 3.0 kembali tahun ini dengan konsep dan format baharu.

HAMPIR tujuh tahun selepas pemansuhannya pada 2018, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 kembali tahun ini dengan konsep dan format baharu susulan keputusan Kementerian Pertahanan memperkenalkan semula program itu.

Sebagai permulaan, Kem Rejimen Askar Wataniah ke-515 Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pertama menganjurkan program itu dengan lebih 130 pelatih sukarelawan dari seluruh negara dijadual melaporkan diri pada Ahad untuk latihan percubaan.

Pelatih yang berumur antara 18 dan 20 tahun itu akan menjalani latihan ketenteraan dan perkhidmatan negara selama 45 hari sehingga 25 Februari 2025.

Berteraskan Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar berkaitan yang disebut sebelum ini, konsep PLKN 3.0 dibentuk dengan gabungan dua komponen penting iaitu Komponen Utama Latihan Khidmat Negara dan Komponen Keberhasilan Latihan Khidmat Negara melibatkan empat fasa.

Pelaksanaan semula program itu yang dijalankan secara berperingkat bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia.

Pada masa yang sama, ia dibuat untuk melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup melalui pengalaman latihan fizikal dan mental.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, PLKN 3.0 menekankan pembangunan disiplin, kepimpinan dan kefahaman sejarah negara dalam kalangan pelatih.

Beliau berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 juga adalah antara pendekatan bagi mencapai pertahanan menyeluruh negara melibatkan sumbangan rakyat dalam memastikan negara kekal aman.

Selepas latihan percubaan itu, fasa PLKN 3.0 seterusnya akan dilaksanakan di 13 Kem Askar Wataniah, 20 Universiti Awam, 33 Politeknik, 27 Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) / Institusi Latihan Perindustrian (ILP) yang akan dijadikan tempat latihan asas PLKN di seluruh negara.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun, manakala purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun.

Ia kemudiannya dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan, namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram