
POLIS Pasir Mas, Kelantan mengesahkan mayat yang ditemui di Sungai Golok, Kelantan pada Selasa sudah diambil pihak berkuasa dari Thailand bagi tindakan lanjut.
Dalam satu kenyataan di Facebook PDRM Pasir Mas, mayat tersebut ditemui di kawasan Jeram Perdah oleh orang ramai dengan keadaan berikat dan masih tidak dapat dipastikan punca kematian.
"Berikutan terkesan satu hantaran di media sosial berkenaan penemuan satu mayat di Sungai Golok (kawasan Jeram Perdah) petang tadi (Selasa), disahkan mayat tersebut dijumpai di bahagian tebing sebelah Thailand. Pihak polis Thailand sudah mengambil mayat tersebut untuk tindakan lanjut," tulisnya.
BACA LAGI: Polis kerah skuad khas Senoi Praaq pantau sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok
BACA LAGI: Rakyat Malaysia masuk secara haram dari Sungai Golok ditahan mulai Disember — Polis
Dalam beberapa video tular di media sosial, kelihatan mayat yang tubuhnya disarung plastik hitam terdampar di sungai di sempadan antara Kelantan dan Thailand.
Berdasarkan perkongsian daripada orang ramai di kawasan tersebut, kedua-dua tangan mangsa diikat dan tidak dipastikan identitinya setakat ini.
Selain itu, seorang saksi di lokasi penemuan mendapati mayat berkenaan mempunyai kesan luka dipercayai disebabkan senjata tajam di bahagian kiri wajahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram