
KERAJAAN Selangor melancarkan misi bantuan pasca banjir ke Kelantan pada Isnin melibatkan sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) terdiri daripada 130 staf
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konvoi itu membabitkan 45 jentera termasuk lori tangki air, lori tong sampah pukal atau roll-on roll-off (roro), lori tipper dan trak pikap.
Beliau bagaimanapun berkata, konvoi itu bukan pasukan penuh kerana ada kakitangannya yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi banjir di Selangor.
Tambahnya, Disember adalah masa kritikal bagi negeri tersebut berikutan risiko banjir yang semakin meningkat.
BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan
BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya
Amirudin berkata, 130 staf bersama 45 jentera itu akan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan bermula hari ini hingga 19 Disember ini.
“Malah, negeri ini mengalami air pasang tertinggi sehingga lima meter pagi ini dan semalam.
“Kami bersedia untuk menangani sebarang kemungkinan dengan sokongan agensi persekutuan seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersama pasukan daripada PBT dan sukarelawan terlatih,” katanya.
Mengenai misi ke Kelantan, Amirudin berkata, pasukan itu akan menumpukan usaha membersihkan kemudahan awam bermula hari ini sehingga 19 Disember ini.
Kelantan dilanda banjir besar sejak bulan lalu. Media melaporkan bahawa kerajaan Kelantan mengalami kerugian lebih RM30 juta akibat gelombang pertama banjir yang berlaku pada akhir bulan lepas.
Dilaporkan juga, 10 daripada 11 daerah yang mempunyai lembangan sungai di Kelantan dijangka mengalami banjir sehingga 19 Disember.
Daerah yang terjejas ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.
Menurut Amirudin, misi bantuan itu menelan belanja kerajaan negeri kira-kira RM300,000 hingga RM400,000.
“Ia adalah manifestasi keprihatinan dan komitmen negeri terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira lokasi dan geografi.
“Pasukan itu akan berkoordinasi dengan kerajaan Kelantan mengenai kawasan yang memerlukan bantuan, dan akan mengutamakan pembersihan kemudahan awam seperti masjid dan balai raya,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau akan mencadangkan Selangor untuk meluluskan sumbangan wang tunai RM500,000 kepada Kelantan bagi membantu kemudahan infrastruktur sosial. — The Star/VIJENTHI NAIR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram