KKM, MiSHA teroka potensi kerjasama tingkat penjagaan kesihatan paru-paru pekerja industri berisiko tinggi


  • Primer
  • Selasa, 17 Dis 2024

Dr Dzulkefly menerima kunjungan perwakilan MiSHA untuk membincangkan kerjasama strategik berhubung penjagaan kesihatan pekerja di Malaysia.

PERSATUAN Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA) bakal menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan penjagaan kesihatan paru-paru dalam kalangan pekerja industri berisiko tinggi menerusi 'Inisiatif Kesihatan Paru-paru dalam Sektor Pekerjaan'.

Presiden MiSHA, Aziz Basiran berkata, inisiatif tersebut akan merangkumi empat fokus utama iaitu pengumpulan data dan penyelidikan; penyebaran kesedaran kesihatan paru-paru di tempat kerja; program pemeriksaan kesihatan dan penjagaan kesihatan paru-paru dan pembangunan garis panduan serta penjagaan kesihatan paru-paru.

Menurut beliau, kerjasama strategik dengan KKM melalui Inisiatif Kesihatan Paru-paru dalam Sektor Pekerjaan membuktikan komitmen MiSHA untuk memperjuangkan kesejahteraan pekerja di Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minum air dulu', Dr Dzulkefly ditenangkan lepas menangis di Parlimen terbayang akses kesihatan rakyat Sabah

BACA LAGI: MiSHA-UTM terokai kerjasama dengan UBT Jeddah dalam bidang keselamatan dan kesihatan

"Potensi kolaborasi ini akan membuka jalan kepada usaha yang lebih terfokus dalam pencegahan, pengumpulan data, dan peningkatan kesedaran tentang kesihatan paru-paru, khususnya di sektor yang berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke KKM pada Selasa yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad serta ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kementerian.

Menerusi insiatif pengumpulan data dan penyelidikan, MiSHA akan membantu KKM dalam mengumpul data kesihatan paru-paru pekerja dari sektor industri seperti minyak dan gas, pembinaan, perkilangan, dan perlombongan. Data ini akan digunakan untuk memperbaiki dasar dan program kesihatan, serta membangunkan strategi pencegahan yang lebih berkesan.

Bagi insiatif penyebaran kesedaran kesihatan paru-paru di tempat kerja, Kempen kesedaran bersama akan dilaksanakan bagi mendidik pekerja tentang risiko kesihatan paru-paru seperti pencemaran udara, bahan kimia berbahaya, dan kepentingan amalan keselamatan dengan seminar, bengkel, dan program pendidikan akan menjadi medium utama usaha ini.

6271560260242229861

Dr Dzulkefly (lima dari kanan) bersama perwakilan MiSHA yang berkunjung ke KKM baru-baru ini.

Fokus seterusnya iaitu program pemeriksaan kesihatan dan penjagaan kesihatan paru-paru pula akan menyaksikan saringan penyakit seperti asma, COPD, dan kanser paru-paru akan dilakukan bagi memastikan pekerja mendapat rawatan tepat pada masanya.

Manakala bagi inisiatif pembangunan garis panduan serta penjagaan kesihatan paru-paru, MiSHA dan KKM akan merangka garis panduan kesihatan paru-paru yang komprehensif bagi sektor pekerjaan, termasuk prosedur untuk mengurangkan pendedahan kepada bahan berbahaya.

Garis panduan ini akan dipantau untuk memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.

Sementara itu, pada sesi kunjungan yang sama, MiSHA turut membentangkan kepada menteri tentang MiSHA National Excellence Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) 2024, yang bertemakan “Reinventing Health at Workplace."

6271560260242229860

Dr Dzulkefly (kiri) menyatakan komitmen kementeriannya untuk terus menyokong inisiatif seperti ini dalam usaha memacu budaya kerja yang lebih sihat dan selamat di Malaysia.

MiSHA juga secara rasmi menjemput Dr. Dzulkefly untuk merasmikan majlis tersebut, yang akan diadakan bertempat di Royal Chulan Kuala Lumpur pada 17 Januari 2025.

Sebagai sebahagian daripada anugerah tersebut, akan diperkenalkan “Anugerah Khas Menteri (Amalan Cemerlang Aspek Kesihatan Pekerjaan),” yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Kesihatan sendiri kepada organisasi yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam aspek kesihatan pekerjaan.

Anugerah ini telah memilih 40 syarikat dari pelbagai industri, yang telah menunjukkan aspek kecemerlangan dalam amalan KKP di temot kerja serta membuktikan keprihatinan sektor korporat terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pengerusi OSHPoP 2024, Abd Mutalib Abd Gapar berkata, MiSHA National Excellence Awards adalah platform utama untuk mengiktiraf syarikat yang komited dalam mempromosikan prinsip pencegahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Tema tahun ini, ‘Reinventing Health at Workplace,’ bertujuan untuk mendorong sektor industri melaksanakan inovasi dan amalan terbaik dalam kesihatan pekerjaan. Dengan sokongan Menteri Kesihatan, kami percaya anugerah ini akan menjadi pemangkin perubahan positif dalam pelbagai sektor," katanya.

MiSHA berharap kolaborasi strategik ini akan memberikan impak besar terhadap penjagaan kesihatan pekerja di Malaysia sambil meningkatkan produktiviti sektor pekerjaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram