DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merobohkan struktur binaan haram yang dibina sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Operasi yang dilakukan pada Khamis itu diadakan di kawasan sekitar Jalan Angsoka dan Jalan Bedara dengan DBKL mengalihkan bahan binaan seperti sengkuap (awning) dan turapan yang menceroboh kawasan yang dikhaskan untuk longkang dan jalan.
Ahli Lembaga Penasihat Kuala Lumpur, Andre Lai berkata, struktur binaan tersebut sudah wujud sejak era Covid-19 sewaktu negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
BACA LAGI: Remaja dari Melaka sanggup datang PJ hadiri pameran PSM demi hobi kumpul setem
BACA LAGI: Lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan Pesta Air Sibu Jaya 2024
"Selain daripada menceroboh kawasan yang sudah dikhaskan, mereka turut berlegar-legar di kawasan sengkuap dan menyebabkan bunyi bising dan menganggu komuniti berdekatan," kata Andre.
Menurut Andre, pihaknya juga sudah mengeluarkan notis kepada pemilik premis di Jalan Berangan yang memasang struktur secara haram di kawasan tersebut.
Pihaknya memberikan masa selama sebulan untuk mengalihkan struktur tersebut sebelum DBKL bertindak merobohkannya.
Tambahnya lagi, DBKL sudah mengeluarkan garis panduan untuk membangunkan struktur tambahan bangunan terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.
"Mereka diberikan masa sekitar sebulan untuk mengalihkan struktur tersebut sebelum DBKL mengambil tindakan.
"Dengan garis panduan yang jelas, artikek dan perancang bandar akan tahu dengan segera bagaimana caranya untuk merancang jalan-jalan dan struktur-struktur supaya kreativiti dapat ditonjolkan tanpa menceroboh kawasan yang sudah dikhaskan," jelas Andre.
Operasi perobohan itu turut diserta oleh beberapa agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan melibatkan 103 anggota. — The Star/LEW GUAN XI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram