SERAMAI 20 penumpang bas ekspres berdepan detik cemas selepas bas dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Kilometer 427.1 Lebuhraya Utara Selatan, Hulu Selangor, Selangor pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada pukul 11.45 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 9 malam melibatkan sebuah bas dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Seremban yang hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan, sebelum masuk ke longkang," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Polis tembak mati 3 penjenayah di Penampang, dipercayai terlibat aktiviti jenayah, kes bunuh
BACA LAGI: Selepas 6 tahun berkhidmat, Hamidin takkan pertahan jawatan Presiden FAM
Ahmad Faizal berkata, akibat daripada kemalangan tersebut pemandu bas cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Pemandu bas cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Manakala 20 orang penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke bas lain yang disediakan oleh syarikat dan meneruskan perjalanan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan untuk tampil membantu siasatan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram