[VIDEO] Disyaki alami gangguan mental, pegawai polis tergamak pukul kepala ibu kandung guna tong gas 3 kali hingga mati di Bogor


  • Benua
  • Rabu, 04 Dis 2024

Mangsa, Aipda Nikson Pangaribuan berjaya ditahan pada Isnin.

SEORANG pegawai polis berusia 41 tahun ditahan selepas didakwa menganiaya ibu kandungnya sehingga mati di Desa Dayeuh Cileungsi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada Ahad lepas.

Ketua Polis Bogor, Penolong Pesuruhjaya Polis Rio Wahyu Anggoro berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian penderaan yang menyebabkan kematian itu sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan).

Insiden tersebut berlaku ketika suspek yang juga merupakan anggota polis Polda Metro Jaya, Aipda Nikson Pangaribuan berbelanja di warung milik ibu kandungnya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kejutan' ketika meronda, pengawal keselamatan di Kampar tergamam jumpa mayat guru dibakar bersama motosikal di kebun kelapa sawit

BACA LAGI: 'Saya dengar adik jerit, menangis kesakitan di bawah runtuhan', mangsa terselamat terngiang-ngiang detik tanah runtuh di Terengganu

Menurut saksi, anggota polis Polda Metro Jaya itu bertindak menolak ibunya yang berusia 61 tahun sehingga jatuh ke lantai.

"Ketika mangsa sedang sibuk melayani pelanggan (saksi) di kedai, tiba-tiba pelaku bertindak menolak ibunya dari belakang sehingga terjatuh ke lantai.

"Kemudian, pelaku mengambil tong gas Liquefied Petroleum Gas (LPG) seberat 3 kilogram yang berada di kedai itu untuk memukul kepala ibunya sebanyak tiga kali," kata polis yang menjelaskan laporan daripada saksi.

Rio berkata, saksi yang berada dalam keadaan ketakutan bertindak menghubungi rakannya dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Tambahnya, Aipda yang panik cuba melarikan diri menggunakan kenderaan Suzuki Pickup, namun akhirnya berjaya ditahan pihak polis pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rio berkata, ibu mangsa yang terjatuh itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kenari.

Tambahnya lagi, pihak polis kini menyiasat kemungkinan gangguan mental yang dialami oleh suspek, namun setakat ini tumpuan mereka adalah untuk menyelesaikan kes ini secara telus.

"Polis juga menyiasat dakwaan bahawa pelaku menjual minuman keras di rumahnya," katanya.

Aipda kini berdepan dengan tuduhan mengikut Perkara 351 atau Perkara 338 Kanun Jenayah yang boleh membawa hukuman penjara hingga 15 tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram