
KERAJAAN Selangor menyediakan dana sebanyak RM400,000 untuk pelan kesihatan bagi warga emas di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, inisiatif itu adalah selari dengan Belanjawan 2025 dengan data peserta diambil berdasarkan program Selangor Saring.
Menerusi data program itu, golongan daripada peringkat umur 46 hingga 64 tahun adalah seramai 2,673 orang. Sebagai rekod, jumlah peserta yang mendaftar di bawah program itu adalah seramai 6,991 orang.
BACA LAGI: Remaja dari Melaka sanggup datang PJ hadiri pameran PSM demi hobi kumpul setem
BACA LAGI: Makan brokoli dan kubis bantu turunkan tekanan darah
"Kerajaan negeri sedang menjalankan program percubaan berkaitan pencegahan kecacatan dalam kalangan warga emas. Ia dilaksanakan oleh BeVital, organisasi bukan kerajaan yang menfokuskan kepada program kesihatan awam.
"Penilaian asas dan tapisan kecergasan terhadap status kesihatan warga emas akan dijalankan di lokasi yang terdapat bilangan warga emas yang tinggi, sebagai contoh di Klang," ujar Jamaliah kepada Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis.
Golongan sasar kepada program itu adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan pencegahan tertumpu kepada kekuatan tulang dan kecergasan fizikal.
Setakat penghujung Oktober, seramai 1,688 warga emas sudah menjalani program tersebut.
"Selepas pemeriksaan, taklimat dalam bentuk pendidikan kesihatan, program senaman dan rawatan fisioterapi akan disediakan buat peserta yang berisiko.
"Pemeriksaan susulan akan dijadualkan untuk memastikan pemantauan berterusan dan penilaian di masa akan datang," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram