TULAR di media sosial mengenai kisah menyentuh hati sepasang suami isteri yang kehilangan motosikal akibat dicuri ketika menjalani pemeriksaan di sebuah hospital baru-baru ini.
Menerusi hantaran di media sosial, seorang lelaki, Nur Aizat yang tinggal di Subang, Selangor datang ke Hospital Selayang bagi melakukan pemeriksaan masalah jantung isterinya yang sedang hamil.
"Keluar dari hospital nak balik, motosikal dah tak ada kena curi. Kami terima ujian ni, mungkin lahir zuriat malaikat kecil ni... Rezeki kami luas,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemancing Vietnam maut terkena renjatan elektrik ketika lempar umpan
Susulan itu, Nur Aizat berkata, mereka terpaksa pulang menaiki perkhidmatan e-hailing selepas ditimpa kejadian tidak diingini itu.
"Kena tenang bang sebab isteri saya dah menangis masa keluar hospital, tengok motosikal dah tak ada. Tapi anggap ni semua ujian untuk kami. Alhamdulillah dah balik naik Grab," katanya.
Perkongsian itu mengundang simpati orang ramai dan turut mendapat perhatian seorang pempengaruh Islamik, Ahmad Yusof atau lebih dikenali sebagai Beymad.
Menyedari situasi tersebut, Beymad tampil membantu dengan menghadiahkan motosikal baharu kepada pasangan itu.
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, Beymad berkongsi detik manis ketika dia membawa pasangan tersebut ke kedai untuk memilih motosikal baharu.
"Alhamdulillah, selesai hadiahkan motosikal baharu untuk Aizat. Semoga Aizat dan isteri sentiasa sihat dan kuat. Terima kasih semua yang sama-sama bantu," ujarnya dalam rakaman video.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan mulia Beymad yang meringankan beban pasangan tersebut.
"Ya ALLAH bestnya jadi kaya. Boleh tolong orang susah," tulis Noraliza Syafikah.
"Alhamdulillah laju Beymad buat kerja," tulis Sufilong. — — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram