SEORANG pengusaha kedai percetakan di Baling, Kedah disahkan maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta di Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah pada Sabtu.
Menerusi hantaran di media sosial, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid memuat naik rakaman kejadian yang berlaku pada pukul 10. 45 pagi.
Mahadzir berkata, pada awalnya, mangsa, Syauqi Ismail memohon untuk mengetuai acara konvoi motosikal berkuasa tinggi yang dilakukan bersama penunggang motosikal yang lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemancing Vietnam maut terkena renjatan elektrik ketika lempar umpan
"Sampai di simpang berhampiran pondok di Bandar Baru Beris Jaya, Sik, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu oleh warga emas tiba-tiba keluar dari persimpangan.
"Arwah cuba mengelak dan membunyikan hon tetapi kenderaan berkenaan tetap menjurus keluar yang menyebabkan kereta itu bergesel dengan motosikal mangsa sebelum dipercayai digilis kenderaan sama," katanya yang menerima maklumat itu daripada salah seorang rakan mangsa.
Mahadzir turut menjelaskan bahawa Syauqi bersama rakan-rakan 'bikers' yang lain sewaktu itu dalam perjalanan menuju ke Terengganu.
"Syauqi yang berasal dari Pulai, Baling meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak," katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Mas Atikah yang tidak menyangka menerima berita kematian itu mendedahkan bahawa adik sepupu mereka, Syanul Ezwin juga baru sahaja disahkan meninggal dunia.
"Hari ini Abang Chik pula. ALLAH. Sumpah rindu mak. Semoga Mashitah Mas (isteri mangsa) kuat untuk anak-anak. Semoga keluarga besar Mashitah semua reda dengan pemergian ini. Sungguh tak kuat," katanya.
Difahamkan, jenazah Syauqi telah dibawa ke unit forensik Hospital Sik untuk dibedah siasat sebelum urusan pengebumian.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram