
PERUBAHAN integriti diperlukan dalam pasukan polis, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, walaupun banyak amaran telah dikeluarkan, tahap pematuhan piawaian masih pada kadar yang membimbangkan.
"Saya sering menekankan perlunya satu perubahan drastik dilakukan terhadap budaya kerja dan tahap integriti di dalam diri setiap warga PDRM, agar pasukan kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat.
BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu Civic meraung tersepit minta tolong, nahas babit lori kontena di Simpang Renggam
"Namun, walaupun berulang kali sudah diberikan ingatan dan amaran, tahap integriti serta pematuhan standard, warga pasukan masih berada di tahap membimbangkan.
“Saya dimaklumkan pada tahun 2023 terdapat seramai 22 anggota polis yang ditangkap sebagai suspek berkaitan kes jenayah komersial. Lebih membimbangkan ialah peningkatan penglibatan anggota polis dalam jenayah komersial kepada 23 orang dari Januari hingga September 2024.
"Saya amat kecewa dan terkilan apabila amanah di sebalik seragam biru yang kita banggakan ini, sudah disalah guna oleh mereka yang rasanya tidak keterlaluan, jika saya ibaratkan sebagai manusia yang tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri," katanya pada Jumaat.
Mengulas mengenai statistik jenayah semasa, Razarudin berkata, terdapat penurunan kes dalam tempoh masa yang sama tahun ini berbanding 2023, dengan pengurangan sebanyak 1,412 kes.
Antara Januari dan September, jabatan itu telah merekodkan 29,010 kes, dengan kerugian dianggarkan RM1.98 bilion; meningkat 22.6 peratus daripada 2023.
“Pada masa sama, kes penipuan dalam talian melibatkan enam modus operandi utama iaitu telekomunikasi e-kewangan, e-dagang, penipuan cinta, pinjaman tidak wujud dan pelaburan palsu membentuk majoriti kes yang dilaporkan setiap tahun.
"Bagi 2024 sehingga September terdapat 24,671 kes direkodkan dengan kerugian dianggarkan RM1.04 bilion," katanya.
Dari segi tindakan penguatkuasaan, JSJK telah melancarkan 17,661 serbuan dan operasi yang membawa kepada penahanan 18,506 orang. —The Star/ JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram