Azlan Man mengaku tak bersalah pertuduhan salah guna wang RM1.06 juta


Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis.

BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis.

Pertuduhan itu dibacakan ke atas Azlan, 65, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat memaklumkan kepada Hakim, Azura Alwi bahawa pihaknya telah mengemukakan lima pertuduhan pilihan tersebut.

Azlan didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, melalui invois serta pesanan Kerajaan Negeri Perlis Tahun Kewangan 2014, 2015, 2016 dan 2017 dengan mengarahkan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan CIMB miliknya melalui empat keping cek dan secara tunai.

BACA LAGI : Disyaki bunuh ibu, anak lapor polis lepas simpan mayat dalam kotak ais sejak 3 tahun lalu

BACA LAGI : [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur , CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu, turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas lima pertuduhan utama iaitu sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan CIMB Bank Cawangan KLCC Mohd Nazrie Mohmad Kahar, 50, memberitahu mahkamah bahawa Aidil Travel mengeluarkan sekeping cek berjumlah RM222,811.95 atas nama penerima Azlan Man, tujuh tahun lepas.

"Cek ini adalah transaksi pengeluaran bagi 3 April 2017 dengan butiran pada penyata akaun CIMB Aidil Travel tercatat HOUSE CHQ DR, yang transaksi itu bermaksud pengeluaran secara cek ke dalam akaun CIMB Bank,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu ketika membacakan penyataan saksinya pada Selasa.

Mohd Nazrie berkata syarikat pelancongan itu mengeluarkan lima keping cek secara tunai berjumlah RM225,772.40 di CIMB bank cawangan Kampung Baru pada 28 Dis 2017.

Mahkamah menetapkan 3 Feb 2025 untuk sambung perbicaraan dan 6 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak peguam memaklumkan sama ada ingin memanggil semula saksi untuk disoal balas atau sebaliknya.

Azlan turut berhadapan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel serta Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram