Pengunjung terpaksa ‘berpeluh’ menapak jauh, MBPJ peruntuk hampir RM1 juta naik taraf Urban Park 1


  • Massa
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Peniaga terlibat mahu MBPJ meletakkan meja dan kerusi yang sesuai khusus buat pengunjung serta khemah sebagai teduhan kepada pengunjung.

AKSES dan kemudahan yang lebih baik diperlukan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke taman awam di Damansara Damai.

Setiausaha Persatuan Peniaga Vista Damansara Damai, Hairin Mohd Anis berkata, antara masalah utama yang menjejaskan mereka ialah aliran trafik ke taman berkenaan di Petaling Jaya, Selangor.

Taman yang dikenali sebagai Urban Park 1 itu terletak di Jalan PJU10/1 yang mana ia berada di bahagian berbentuk gelung (rujuk grafik 1).

BACA LAGI: Apa yang Pan-gon maksudkan dengan bahaya? — TMJ

BACA LAGI: Lepas Pan-gon, Southgate pula buat kejutan tinggalkan England

Grafik 1. Pengunjung perlu memarkir kenderaan mereka di Dewan Komuniti Damansara Damai dan berjalan kaki ke Urban Park 1.

“Pengunjung perlu meninggalkan kenderaan mereka di kawasan parkir Dewan Komuniti Damansara Damai dan berjalan kaki ke taman.

“Walaubagaimanapun, pemandu di lorong luar tidak boleh masuk terus ke tapak parkir ekoran terdapat pembahagi jalan di seberang pintu masuk.

“Mereka perlu membuat pusing U untuk mengakses ke laluan itu.

“Kesulitan sedemikian menyebabkan ramai peniaga kehilangan pelanggan,” dakwa peniaga pisang goreng, Hairin.

Melalui tinjauan, pemandu perlu membuat pusingan U sejauh 1.5 kilometer (KM) untuk kembali ke pintu masuk tersebut.

Hairin turut menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memasang papan tanda di sepanjang Jalan PJU10/1 untuk memberi penunjuk arah lebih jelas kepada pengunjung taman itu.

MBPJ baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM900,000 untuk menaik taraf taman itu melalui Belanjawan 2025.

Justeru, Hairin bersama peniaga jus nanas, Mukhlis Rosyam, 29, menggesa MBPJ supaya mempertimbangkan untuk meletakkan meja dan kerusi yang sesuai khusus buat pengunjung.

“Meja dan kerusi sedia ada adalah milik peniaga sendiri.

“Jika MBPJ meletakkan lebih banyak meja dan kerusi di sini, lebih ramai pengunjung boleh bersantai selepas membeli makanan dan minuman dari gerai kami, terutama pada waktu petang,” ujar Hairin.

"Kami bukan nak mendesak, tetapi lebih baik jika MBPJ memasang khemah bagi membolehkan pengunjung berteduh," tambahnya.

Hairin turut menggesa MBPJ memasang lebih banyak lampu di taman itu bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat pada waktu malam.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, kerja naik taraf yang dijangka bermula tahun depan itu melibatkan penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur seperti tandas, longkang dan jalan raya.

“Ia selaras dengan usaha MBPJ untuk meningkatkan fokusnya kepada fungsi asas pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya. — The Star/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram