
SEORANG wanita berusia 43 tahun yang dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Taiping, Perak selepas bersalin masih dalam keadaan terkejut apabila mendedahkan mayat bayinya yang baru dilahirkan telah dibuang berhampiran sungai.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, perkara itu dibongkar selepas menerima aduan dari Hospital Taiping pada pukul 3.32 pagi yang membawa kepada penahanan seorang wanita dan lelaki warga asing.
Mohamad Nasir berkata, wanita warga Kemboja berusia 43 tahun itu baru melahirkan anak di tempat lain dan mendapatkan rawatan kecemasan di hospital tersebut.
Mayat bayi berkenaan dibuang di Sungai Larut, Taiping.
"Wanita itu memaklumkan bayinya telah meninggal dunia ketika bersalin, bagaimanapun bayinya tidak dibawa bersama.
"Kami kemudian mengesan seorang suspek dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Nepal.
"Suspek membawa polis ke Sungai Larut di Simpang, Taiping di mana mayatnya dibalut dengan kain, dimasukkan ke dalam beg dan ditinggalkan berhampiran struktur bersimen," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamad Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuangnya secara rahsia, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram