
RUMAH di sekitar Klang yang didapati mempunyai jentik-jentik di premis mereka akan didenda maksimum RM500.
Pengarah Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Azmi Muji berkata, pihaknya akan mengambil langkah untuk mengeluarkan denda bagi menangani isu denggi di bandar itu.
“MBDK telah mengadakan kempen kesedaran tetapi kini kami mahu orang ramai akur dengan peraturan.
"Pemeriksa kesihatan menemui tumbuhan pasu yang dibiarkan dengan tanah mengeras serta takungan air di dalamnya sehingga menjadikannya tempat pembiakan jentik-jentik," katanya,
BACA LAGI: Malaysia catat 26,365 kes demam denggi 2021, terendah sejak sedekad — KP Kesihatan
BACA LAGI: Boleh jadi punca maut, perhatikan simptom demam denggi yang perlu dibendung
Tanaman pasu yang penuh dengan takungan air di kawasan perumahan adalah tempat utama pembiakan nyamuk. — Gambar hiasan
Beliau berkata, MBDK mengeluarkan 976 kompaun dari Januari hingga Ogos di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala 1,592 kompaun dikeluarkan tahun lepas.
“Dari Januari hingga 22 September, terdapat 6,726 kes denggi yang disahkan dengan dua kematian berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 6,704 kes tanpa melibatkan kematian.
“Kami amat kesal. Kedua-dua kematian itu boleh dicegah,” katanya.
Menurut Jabatan Kesihatan Selangor, daerah Klang mempunyai 9,164 kes denggi tahun lepas dengan tiga kematian.
Kata Azmi, pemeriksa kesihatan bekerja keras untuk mengurangkan jumlah kes dan setakat minggu lepas, tiada titik panas (hotspot) dikenal pasti.
“Sebelum ini, kes mingguan melebihi 100 kes tetapi pada 8 September, angka itu menurun kepada 95 kes.
“Pada 15 September, terdapat 78 kes manakala 22 September merekodkan 96 kes.
"Matlamat kami adalah untuk mengurangkan jumlah tersebut," tambahnya.
Azmi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan harian di pelbagai kawasan perumahan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran MBDK, Zakaria Ismail berkata, tanaman pasu yang terbiar serta tanah yang tidak dijaga di kawasan perumahan adalah tempat utama pembiakan nyamuk.
Azmi berkata, pencegahan dan kawalan denggi adalah tanggungjawab bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat.
“Denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang serius.
“Orang ramai perlu meluangkan masa 10 minit seminggu memeriksa dan membersihkan rumah dan persekitaran mereka bagi memastikan tiada air bertakung,” katanya.
Daripada 11 kawasan pilihan raya, Sentosa mempunyai 1,054 kes kumulatif setakat tahun ini; Sementa 946, Meru, 944; Kota Kemuning, 925; Pelabuhan Klang, 711; Bandar Baru Klang, 615; Sungai Kandis, 526; Selat Klang, 473; Pandamaran, 465; Kota Anggerik, 37; dan Batu Tiga, 30.
Menurut risalah pencegahan denggi kerajaan Selangor, telur nyamuk Aedes tidak aktif sehingga sembilan bulan dan menetas dalam beberapa jam jika terdedah kepada satu sudu teh air.
Ia mengambil masa empat hari untuk larva berkembang menjadi pupa dan nyamuk dewasa muncul selepas dua hari. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram