Jom serbu Melaka, 4 daerah tawar parkir percuma seminggu bermula Sabtu


  • Primer
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Kerajaan Melaka menawarkan tempat letak kereta percuma untuk pelancong dan penduduk tempatan bermula Sabtu.

KERAJAAN Melaka menawarkan tempat letak kereta percuma untuk pelancong dan penduduk tempatan, kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka berkata, inisiatif itu meliputi 34,764 tempat letak kereta merentasi empat majlis perbandaran tempatan mulai Sabtu hingga 20 September.

“Tawaran tempat letak kereta percuma itu termasuk 14,876 petak letak kereta di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); 5,000 di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG); 3,500 di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 11,388 di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, inisiatif parkir percuma itu adalah bersempena sambutan Hari Malaysia dan sambutan Maulidur Rasul serta kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Tawaran (tempat letak kereta percuma) ini adalah manifestasi simbolik penghargaan kerajaan negeri kepada pelancong dan pelawat, dengan Melaka mencatatkan lebih 8.7 juta ketibaan pelancong dan pelawat dari Januari hingga Julai tahun ini,” tambahnya.

Ab Rauf turut menyatakan bahawa kerajaan negeri terus mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini dan berharap inisiatif parkir percuma ini dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan negeri selaras dengan TMM2024. — TheStar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram