MAHKAMAH Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah jagaan sementara untuk adik kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, kepada nenek saudaranya, mulai Jumaat.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membuat keputusan itu susulan proses rundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd Raya, yang berlangsung selama sejam.
Nurul Ikrimah berkata, hak penjagaan diberikan selama dua bulan sehingga 4 Oktober. Bagaimanapun, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan ibu, Ismanira Abdul Manaf, 29, dibenarkan melawat anak mereka dengan syarat tertentu, termasuk meluangkan masa dengannya lapan jam sekali seminggu.
BACA LAGI: JKM teliti orang yang layak jaga adik kepada Zayn Rayyan
Zaim Ikhwan (kanan) dan Ismanira (dua, kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 26 Julai lalu. — Foto Bernama
Tambahnya, Zaim dan Ismanira juga dikehendaki membawa kanak-kanak itu menjalani sesi terapi khas sebulan sekali. Keputusan itu menceriakan keluarga Zaim dan Ismanira yang tidak putus-putus mencium kanak-kanak berkenaan.
Pada 14 Jun lalu, adik Zayn Rayyan ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan selepas JKM mendapatkan perintah penjagaan sementara terhadap kanak-kanak berusia lima tahun itu di Mahkamah Majistret.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang dari rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 5 Disember 2023, dan ditemui mati pada keesokan harinya.
Pada 13 Jun lalu, ibu bapanya, Zaim Ikhwan dan Ismanira, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan masing-masing mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai mulai tengah hari 5 Disember 2023, sehingga pukul 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram