Lagi kes remaja hilang, polis minta bantuan orang ramai kesan Alief Daniel


  • 112
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Kali terakhir dia berada di rumahnya kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis.

POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Jalan PJS 2C, Petaling Jaya, Kuala Lumpur sejak Khamis.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Petaling Jaya menerima laporan daripada keluarga Alief Daniel Ghazally Abdul Ghaniy berhubung kehilangannya itu pada pukul 1.15 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, remaja terbabit kali terakhir berada di rumahnya di No. 50, Jalan PJS 2C, Petaling Jaya, kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis.

BACA LAGI: Remaja 17 tahun tak balik rumah di Sikamat, keluarga lapor polis, harap Nur Farah Dania selamat

BACA LAGI: Pelajar Tingkatan 5 dikhuatiri lemas, hilang ketika tangkap ikan di Sungai Pahang

Menurut beliau, orang hilang (OH) itu berketinggian kira-kira 163 sentimeter (sm) dengan berat kira-kira 80 kilogram (kg), berbadan gempal dan berisi serta berkulit warna sawo matang.

“OH berambut hitam dengan potongan rambut ala askar dan berhidung mancung sederhana lebar.

“Mangsa kali terakhir dilhat memakai pakaian baju sukan sekolah warna merah bertulis ‘MARS’ di bahagian belakang dengan lencana dan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan di sebelah kiri bahagian depan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, remaja itu juga kali terakhir dilihat memakai seluar trek hitam bertulis ‘One’ dan berkasut sekolah warna hitam.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram