PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Meta Platforms Inc (Meta) yang menghalang selain menurunkan kandungan berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh.
Dalam kandungan yang dimuat naiknya itu, beliau menzahirkan ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan kejam tersebut.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
BACA LAGI: Dewan Rakyat kutuk pembunuhan pemimpin Hamas
BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik PM Anwar yang diturunkan oleh Meta. — Facebook/Anwar Ibrahim
Dalam kenyataan tersebut, beliau turut memberi peringatan kepada pihak Meta untuk tidak bersikap pengecut dan perkakas rejim Zionis Israel.
"Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.
Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya," tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada Khamis.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mengecam tindakan Meta selepas menurunkan gambar perjumpaan Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas itu di Instagram pada Khamis (31 Julai).
PMO dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
"Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf," katanya di Facebook.
Untuk info, Ismail terkorban dalam serangan udara Israel di kediamannya di Tehran, Iran pada Rabu (30 Julai)— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram