POLIS Johor mengesahkan lima suspek yang terlibat dalam penculikan Albertine Leo Jia Hui di Johor Bahru tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kanak-kanak berusia enam tahun itu atau keluarganya.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, ketika polis sedang melakukan siasatan berhubung motif di sebalik penculikan itu, didapati tiada kaitan antara suspek dan mangsa.
“Sebahagian daripada siasatan ini sudah selesai dan telah dipastikan mereka tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya di ibu pejabat polis Johor pada Khamis.
Beliau menjawab soalan media mengenai hubungan antara suspek dan keluarga mangsa susulan timbul spekulasi dan komen di media sosial yang mendakwa suspek adalah rakan ibu mangsa.
BACA LAGI: Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek dilanjut reman 7 hari
BACA LAGI: Kes bunuh Nur Farah Kartini, polis jumpa kunci kereta, dompet dalam sungai Trolak
Foto yang dikongsi menerusi Facebook Barbie Hui Hui, memaparkan Albertine sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor.
Mengulas lanjut perkembangan kes itu, beliau berkata, empat daripada suspek mungkin dibebaskan dengan jaminan polis sebaik tamat tempoh reman pada 26 Julai ini.
"Kami akan membebaskan mereka di bawah jaminan polis jika mereka tidak lagi diperlukan untuk membantu siasatan.
“Namun, semuanya bergantung kepada perkembangan siasatan. Sementara itu, tempoh reman suspek berusia 31 tahun yang ditemui bersama mangsa di Batang Kali akan berakhir pada 29 Julai depan,” katanya.
Mengulas mengenai motif di sebalik penculikan dan hubungan antara lima suspek, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Siasatan masih diteruskan. Apabila ia selesai, kami akan mengadakan sidang media untuk memberitahu butiran lanjut mengenai kes itu,” katanya.
Albertine dilaporkan hilang semasa acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri 20 Julai lalu.
Dia kemudiannya ditemui di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lalu, kira-kira 370km dari lokasi terakhir dia dilihat.
Empat suspek ditahan polis pada 22 Julai manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditahan pada hari berikutnya selepas ditemui berada di dalam bilik hotel bajet sama dengan kanak-kanak itu. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram