META mohon maaf kesilapan terjemahan posting pertabalan Agong di Facebook


  • Primer
  • Isnin, 22 Jul 2024

Meta membuat permohonan maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu entri di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

META pada Isnin membuat permohonan maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu entri di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Pengarah Dasar Awam META Asia Tenggara, Rafael Frankel berkata, pihaknya menerima maklum mengenai kesilapan terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

Dia mengakui terjemahan itu menjejaskan posting di Facebook RTM berkaitan istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan hari keputeraan Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

BACA LAGI: RTM buat laporan polis isu terjemahan automatik FB, kapsyen bahasa Inggeris silap ucap takziah Agong

BACA LAGI: Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Agong ke-17

2814316

Hantaran Facebook RTM berhubung pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris. — Facebook

"Kami sudah menyelesaikan kesilapan teknikal ini. Kami amat menghormati Kerabat Diraja Malaysia dan dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada RTM, Majlis Diraja Johor dan pihak lain yang terkesan dengan acara ini," katanya.

Terdahulu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat laporan polis berhubung fitnah yang dilemparkan berkaitan dengan hantaran dimuat naik di Facebook berkenaan pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, RTM menjelaskan bahawa apa yang dipaparkan Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan secara automatik oleh sistem Facebook.

"Jika pengguna mengaktifkan terjemahan secara automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa lnggeris oleh sistem Facebook adalah salah.

"RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena lstiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17," katanya.

RTM juga memaklumkan sudah membuat laporan polis dan pihak MCMC telah menghubungi Meta berkaitan terjemahan yang salah oleh sistemnya.

"Meta juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan masalah tersebut," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram