LEBIH daripada 20 peratus graduan di Johor bekerja dalam sektor yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kekurangan tenaga kerja merupakan isu yang perlu diselesaikan bagi memenuhi keperluan industri dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Sejak Januari tahun ini, bilangan pekerjaan yang tersedia semakin meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 74,710 jawatan kosong yang diiklankan. Namun, hanya 51,946 permohonan pekerjaan yang direkodkan.
BACA LAGI: Graduan TVET perlu ditawar gaji premium, bukan minimum — Ahmad Zahid
BACA LAGI: Isu gaji graduan, penjawat awam rendah dibincang minggu depan — PM Anwar
"Secara statistiknya, sebanyak 22.3 peratus graduan di Johor bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.
"Manakala antara 20 peratus hingga 60 peratus graduan dari kolej vokasional di Johor bekerja di luar bidang masing-masing disebabkan oleh pekerjaan yang tidak sepadan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menyatakan kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri lain di Kuala Lumpur pada Rabu bagi membentuk Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Ahmad Zahid (kiri) diiringi Onn Hafiz (kanan) ketika hadir Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) di Kuala Lumpur pada Rabu lepas. — Gambar hiasan/Agensi
"Kami juga telah memutuskan untuk menggunakan JTDC sebagai penghubung antara universiti dan industri untuk menyediakan lebih banyak program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran, dan penempatan kerjaya secara langsung," katanya.
Beliau menambah bahawa JTDC juga akan melakukan penyelidikan tentang keberkesanan program-program sedia ada dan penyusunan semula kursus-kursus yang lebih sesuai mengikut keperluan industri.
"JTDC juga akan menjadi pusat pengumpulan data bagi kementerian, agensi, dan pihak berkepentingan untuk penyelidikan tenaga kerja dan keperluan industri," katanya.
Pada bulan lalu, Onn Hafiz mengumumkan bahawa kerajaan negeri mencadangkan penubuhan JTDC bagi membantu membentuk tenaga kerja mahir yang memenuhi tuntutan pelabur.
Beliau berkata, majlis seperti itu akan menjadi kunci kejayaan JS-SEZ. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram