'Gementar mai sorang-sorang', 5 sahabat 'pakat' mengundi bersama buat kali pertama


  • Politik
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Dari kiri: Nur Athirah Mohd Zahid, Nur Afiqah Syamimi Mohd Zaidi, Hana Humaira Yusrizal, Farah Farhana Azhar dan Amirah Syakirah Ardeni, mengundi di SK Sungai Duri bagi PRK DUN Sungai Bakap. — ZHAFARAN NASIB/The Star

LIMA bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri tidak melepaskan peluang hadir bersama ke sekolah itu untuk mengundi buat kali pertama sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu.

Mereka ialah Nur Athirah Mohd Zahid, Nur Afiqah Syamimi Mohd Zaidi, Hana Humaira Yusrizal, Farah Farhana Azhar dan Amirah Syakirah Ardeni.

Menurut salah seorang daripada bekas murid itu, Hana Humaira, 19, dia bersama rakan sebayanya menjadikan hari mengundi sebagai pertemuan semula selepas masing-masing membawa haluan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

BACA LAGI: Joohari yakin sokongan pengundi di kawasan 'hitam' PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: ‘Ingat ALLAH nampak’, PAS beri amaran pada PH tak ‘rasuah’ pengundi PRK Sungai Bakap

"Rasa gementar juga kalau 'mai' sorang-sorang, bila ramai tak segan sangat, lagipun sekolah ini mengimbau kembali kenangan kami.

"Teruja juga sebab kali pertama," katanya.

Katanya, mereka menggunakan aplikasi WhatsApp untuk merancang bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Dr Joohari merupakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara manakala Abidin ialah bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.

DUN Sungai Bakap merupakan pilihan raya kecil kelapan sejak PRU15 yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat radang perut.

Seramai 39,151 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram