Rumah tangga retak punca kes suami bunuh isteri di hotel Batu Gajah, suspek serah diri


  • 112
  • Khamis, 20 Jun 2024

Seorang lelaki bertindak menyerah diri di balai polis selepas membunuh isterinya dalam kejadian di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos pada Khamis. — Media sosial

SEORANG lelaki bertindak menyerahkan diri di balai polis Batu Gajah, Perak selepas membunuh isterinya dalam kejadian di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos pada Khamis.

Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu datang ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira pukul 2 petang untuk menyerah diri dengan memaklumkan dia sudah membunuh isterinya dalam bilik di hotel itu.

Lelaki itu membunuh isterinya menggunakan pisau dan punca pembunuhan dipercayai akibat keretakan rumah tangga yang menghampiri perceraian.

BACA LAGI: Tindakan pelik pasangan disyaki kekasih korek tanah di kawasan lapang bawa penemuan janin di Sabah

BACA LAGI: Malaysia-China setuju selesai pertikaian di Laut China Selatan secara aman

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad, berkata motif suspek berusia 36 tahun itu membunuh wanita berumur 32 tahun berkenaan, dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh.

Katanya, siasatan polis menemukan mayat mangsa dengan kesan tikaman di dalam bilik hotel itu, dan sebilah pisau turut dijumpai di tempat kejadian.

"Semakan mendapati suspek dan mangsa hadir ke hotel secara berasingan dan menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian, iaitu pada 19 Jun.

"Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun sudah dipujuk," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Md Noor Aehawan turut mengesahkan bahawa selepas menikam isterinya itu, suspek kemudiannya pergi ke Balai Polis Batu Gajah sekitar pukul 2 petang tadi untuk menyerah diri.

"Suspek kemudiannya ditangkap untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Aaiaten Superintendan V K Gunaselan di talian 0123634341 untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram