
PIHAK berkuasa sedang menyiasat guru atas dakwaan melakukan kekasaran terhadap empat anak muridnya dalam satu kejadian di sebuah sekolah agama di Pontian, Johor pada Rabu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, guru berkenaan juga kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah, selepas insiden berkenaan berlaku.
Katanya, Pejabat Pendidikan Islam daerah berkenaan sudah mengambil tindakan segera dengan memberikan kerjasama penuh kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan terhadap insiden berkenaan.
BACA LAGI: Tarikh umum SPM kekal: ramai kasihan 'batch 06' banyak hilang momen istimewa
Guru berkenaan kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah Pontian.
"Kerajaan Johor memandang serius akan dakwaan ini dan menolak sebarang penggunaan kekasaran ke atas pelajar.
"Guru yang didakwa terbabit dalam kes itu ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah dalam tempoh siasatan berlangsung manakala murid yang terbabit dibenarkan untuk mengambil cuti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, seorang guru lelaki didakwa bertindak luar kawalan apabila menampar, menumbuk serta mencekik leher empat anak muridnya.
Guru berusia 48 tahun itu dilaporkan bertindak demikian dipercayai berang selepas tiga murid berusia 10 dan 11 mengintainya menghisap rokok di dalam sebuah stor.
Guru terbabit juga didakwa memarahi beberapa orang murid yang lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan sentiasa memastikan suasana pembelajaran di semua Sekolah Agama Kerajaan Johor berada keadaan selamat dan kondusif kepada guru-guru dan para pelajar.
"Saya memohon supaya semua pihak menghormati proses siasatan oleh PDRM dan tindakan selanjutnya termasuk tindakan tatatertib akan diambil tertakluk kepada hasil siasatan berkenaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram