Pemuda sesat 6 jam lepas beraya dalam kebun getah angkara aplikasi trafik di Kedah


  • 112
  • Rabu, 08 Mei 2024

Zulkhairi (kanan) memberi semangat kepada lelaki yang tersesat lebih enam jam di kawasan ladang kelapa sawit dan getah di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil pada awal pagi Rabu. — Bomba

SEORANG penunggang motosikal trauma apabila tersesat selama lebih enam jam selepas memilih menggunakan aplikasi trafik dalam kebun getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Pada awalnya, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang beraya dari rumah rakannya yang terletak di Sungai Lalang, Sungai Petani kira-kira pukul 1 pagi Rabu.

Difahamkan, pada ketika itu dia ingin menuju pulang ke rumah abangnya yang terletak di Sungai Petani namun tiada rangkaian telefon dan internet.

BACA LAGI: Suami tergamam, isteri menjerit ditumbuk dan diseret sebelum cuba diculik 4 lelaki di Kulai

BACA LAGI: [VIDEO] Satu famili terperanjat, tetamu misteri selamba lena atas sofa rumah di Kerian

WhatsApp Image 2024-05-08 at 3.24.15 PM

Mangsa tersesat lebih 6 jam di dalam kebun getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Berikutan itu, dia kemudian menghubungi pasukan bomba selepas gagal mencari liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan kira-kira pukul 7 pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, pihaknya bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS ditemukan keadaan terketar-ketar dan menangis teresak-esak selain lemah pada pukul 8.10 pagi Rabu

“Berdasarkan maklumat mangsa, dia yang menunggang motosikal seorang diri tidak menyangka akan tersesat sehingga ke kebun getah dan ladang kelapa sawit berkenaan.

“Ini kerana dia hanya berpandukan aplikasi itu secara langsung untuk pulang bermalam di rumah abangnya di Sungai Petani, namun tersesat lebih 10 kilometer dari jalan besar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulkhairi berkata, pemuda itu mendakwa dia tersesat dan pandangannya gelap menyebabkannya panik lalu cuba mencari jalan keluar tetapi gagal menemuinya.

Menurutnya, mangsa kemudian melalui jalan berselut dan tanah merah menyebabkan dia pasrah dan cuba menghubungi pihak bomba, namun gagal disebabkan tiada liputan telekomunikasi.

“Mangsa mendakwa terdengar bunyi binatang buas dan lembaga sepanjang berada dalam kebun getah dan kelapa sawit itu, namun reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Mangsa juga dilaporkan mengalami sesak nafas dan luka ringan yang memerlukan rawatan di Klinik Kesihatan Teloi Timur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram