
JURURAWAT wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat malam dikatakan ditarik keluar dari kereta sebelum diserang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya kini giat memburu lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
"Hasil siasatan lanjut kejadian kira-kira pukul 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Negeri Sembilan, dari arah Hutan Percha.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa mengatakan kereta dinaikinya dihimpit sebuah kenderaan membuatkannya memberhentikan keretanya di bahu jalan.
"Suspek berusia lewat 30-an dikatakan membuka pintu kereta mangsa, menariknya keluar dan menumbuknya di bahagian muka beberapa kali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, mangsa turut menyatakan dipukul dengan objek tumpul di belakang kepala yang menyebabkannya separuh sedar ketika ditemui selain turut menyebabkan kecederaan.
"Siasatan juga mendapati kejadian ini bukan kes rompakan seperti yang ditularkan memandangkan tiada barang berharga milik mangsa hilang.
"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahu kanan dan kepala. Dia stabil, tiada sebarang kesan kecederaan patah atau parah di mana-mana bahagian anggota badan.
"Polis kini giat mengesan suspek, motif dan punca kejadian sedang dikenal pasti. Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru beli rumah sudah ada macam-macam masalah termasuk dinding berlubang
Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, tertiarap berhampiran keretanya dengan keadaan enjin masih hidup.
Sebelum ini, di media sosial, ramai yang membuat spekulasi bahawa jururawat terbabit dirompak, selain ada juga membuat andaian mangsa dikasari tunang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram