
KERAJAAN baru-baru ini bersetuju agar pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipertimbangkan untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar tajaan kerajaan menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat dalam negara.
Bagaimanapun JPA memaklumkan penangguhan itu tertakluk kepada beberapa ketetapan.
"Antaranya kebenaran bekerja berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat ijazah pertama dan tidak diberikan secara automatik.
"Selain itu, tempoh penangguhan yang dibenarkan untuk bekerja di luar negara adalah tidak melebihi tiga tahun dan pelajar tajaan pinjaman dikehendaki membayar balik nilai pinjaman secara ansuran bulanan dalam tempoh tersebut," maklum JPA dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, pensyarah dalam bidang pembangunan sumber manusia dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berpandangan, ruang yang disediakan dapat memberikan nilai tambah dalam aspek pengalaman kerja kepada pelajar tajaan JPA.
"Jadi apabila pulang ke Malaysia kelak, mereka bukan sahaja memiliki ijazah sarjana muda, tetapi juga mempunyai pengalaman kerja dalam bidang pengajian mereka," katanya kepada Majoriti.
Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan beberapa kesan positif dan negatif sekiranya pelajar tajaan JPA diberikan penangguhan kepulangan ke Malaysia seperti yang digariskan oleh Abdul Rahim :
BACA LAGI: [VIDEO] Baca dulu tajuk utama antara 5 cara kesan berita palsu yang disyorkan SKMM
Pelajar tajaan kerajaan berpeluang menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara.
BACA LAGI: Ibu bapa panik tertinggal anak dalam kereta tiba-tiba terkunci di Kampar
1) Lebih kompetitif
Pelajar di bawah tajaan JPA dilihat akan lebih kompetitif dan mampu bersaing dalam pasaran kerja di Malaysia.
Ini kerana peluang berkhidmat dengan syarikat di luar negara memberi pendedahan kepada pelajar tentang kaedah dan budaya kerja masyarakat di negara maju.
Pasti akan ada input berharga yang dipelajari oleh mereka dan boleh dibawa pulang untuk diaplikasikan dalam konteks Malaysia.
Misalnya kaedah pembuatan keputusan, kaedah pengurusan staf dari latar belakang yang berbeza dan kaedah meningkatkan produktiviti staf.
2) Timba pengalaman
Pelajar boleh menimba pengalaman di syarikat bertaraf antarabangsa di luar negara.
Pengalaman itu dalam masa sama dapat 'mencantikkan' kurikulum vitae (CV), memberi nilai tambah dan menaikkan imej mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja di Malaysia sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Ini kerana para majikan pastinya akan lebih memilih calon yang bukan sahaja memiliki pencapaian akademik baik, tetapi juga berlatarbelakangkan pengalaman kerja daripada syarikat multinasional dan antarabangsa.
3) Bina jaringan industri
Pihak JPA sendiri boleh membina jaringan industri bersama syarikat antarabangsa bagi tujuan pembangunan pelajar di bawah tajaannya.
Inisiatif tersebut mampu dilaksanakan dengan bantuan pelajar tajaan agensi berkenaan yang diterima bekerja di syarikat antarabangsa.
Pandangan para pelajar ini boleh dijadikan input oleh JPA dalam membuat keputusan bagi pemilihan rakan strategik industri antarabangsa.
Pihak JPA boleh membina jaringan industri bersama syarikat antarabangsa bagi tujuan pembangunan pelajar di bawah tajaannya.
Dalam masa sama, Abdul Rahim turut menjelaskan dua cabaran yang berkemungkinan dihadapi oleh kerajaan sekiranya pelajar tajaan JPA menangguhkan kepulangan mereka untuk bekerja di luar negara:
1) Peningkatan isu brain drain
Situasi ini berisiko meningkatkan fenomena penghijrahan individu berkemahiran tinggi atau brain drain sekiranya terdapat pelajar yang berhasrat untuk kekal bekerja di luar negara melebihi tempoh yang ditetapkan.
Perkara itu tidak mustahil akan berlaku sekiranya jawatan, gaji dan kelebihan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut memenuhi atau melebihi jangkaan para pelajar ini.
Justeru, JPA perlu memikirkan mekanisma terbaik agar isu brain drain mampu diminimumkan.
2) Implikasi kewangan
Aspek kewangan juga menjadi antara cabaran yang perlu diatasi dalam pelaksanaan ini.
Dengan kebenaran yang diberikan, ia bermaksud status pelajar adalah masih lagi di bawah tanggungjawab JPA selaku pemberi biasiswa.
Antara implikasi kewangan yang mungkin terlibat adalah pembiayaan oleh JPA bagi insurans perubatan dan visa bagi pelajar yang terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram