Warisan teromba merisik, adat perpatih yang dipinggirkan


  • Massa
  • Rabu, 07 Feb 2024

Terdapat kekurangan ilmu pengetahuan dan pendedahan terhadap dunia teromba dalam kalangan generasi Y, namun tidak menggugat pemikiran positif masyarakat adat perpatih untuk memelihara dan mengekalkan kelangsungan adat dan teromba di Negeri Sembilan. — Gambar hiasan/Facebook Nen Tebabo

SALAH satu amalan menarik dalam adat perpatih ialah 'Warisan teromba merisik'. Teromba merupakan kesusasteraan tradisional bukan sahaja kerana bentuk binaan luaran tetapi falsafah dan nilai yang terkandung, digunakan dalam pengacaraan majlis termasuk berkaitan adat istiadat seperti majlis merisik, pertunangan dan perkahwinan (Ghazali, 2022).

Teromba memperlihatkan penggunaan gaya bahasa yang bersifat tersurat dan yang tersirat seperti kiasan, bidalan dan perumpamaan memerlukan kefahaman yang luas untuk difahami oleh masyarakat adat perpatih dalam membuat tafsiran ke atas teromba yang diungkapkan.

Namun dapatan kajian yang dijalankan mendapati generasi Y mempunyai tahap pengetahuan yang sederhana terhadap teromba merisik. Hal ini dikatakan demikian kerana, generasi Y tersebut hanya mengetahui secara umum berkaitan definisi teromba, namun tidak berpengetahuan luas dalam konsep sebenar teromba yang mencakupi ciri-ciri teromba, bentuk-bentuk teromba dan jenis-jenis teromba.

Sungguh terdapat kekurangan ilmu pengetahuan dan pendedahan terhadap dunia teromba dalam kalangan generasi Y, namun tidak menggugat pemikiran positif masyarakat adat perpatih untuk memelihara dan mengekalkan kelangsungan adat dan teromba di Negeri Sembilan.

Oleh itu, usaha perlu dilakukan untuk membentuk kembali kefahaman dalam kalangan generasi Y tentang teromba merisik dan adat perpatih melalui penyampaian informasi yang efektif tentang warisan budaya tersebut. Warisan teromba merisik tidak harus dipinggirkan kerana ungkapan teromba ini bukan sahaja melambangkan masyarakat Melayu yang penuh dengan ketertinggian budi pekerti malahan juga menjadikan suatu warisan peradaban Melayu yang hebat. — Majoriti

Dr. Azean Idruwani Idrus, Pensyarah Kanan, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram