Banjir: Pesta tahunan yang tidak berkesudahan


  • Massa
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Sampai bilakah rakyat terpaksa berdepan musibah banjir setiap tahun? — Gambar hiasan/Bernama

TRAGEDI banjir yang hampir melumpuhkan negara pada Januari 1971 atau dikenali sebagai “Bah Besar 1971” merupakan tragedi banjir yang pertama kali berlaku di Malaysia dan telah meragut nyawa sebanyak 57 orang.

Susulan itu, kerajaan telah mengisytiharkan Darurat Bencana Negara di seluruh negara berkuat kuasa bermula 5 Januari 1971. Tragedi ini dikatakan berpunca daripada hujan lebat tanpa henti selama seminggu ditambah pula faktor infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

Namun selepas 51 tahun tragedi “Bah Besar 1971”, tragedi banjir ini masih menyelubungi rakyat Malaysia terutama di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, dan Johor tidak terkecuali Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Faktor seperti hujan lebat yang berterusan tanpa berhenti, sistem perparitan tidak terancang serta tidak diselenggara dengan sempurna, proses pembandaran dan pemusnahan kawasan hutan tadahan sering dijadikan dendangan tiap kali berlakunya banjir.

Sampai bilakah fenomena menuding jari menyalahkan antara satu sama lain ini berlegar dalam kalangan masyarakat? Sampai bilakah masyarakat akan terus berpesta banjir ini seolah-oalah sudah dianggap sebagai satu acara tahunan? Sewajarnyalah tumpuan kepada penyelesaian isu yang menjadi punca banjir difokuskan daripada tertumpu kepada penyaluran bantuan ketika rakyat berdepan bencana tersebut.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab dalam melipatgandakan usaha dengan menyelenggara sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat. Usaha mengenal pasti kawasan parit, longkang, pembetung dan kolam takungan yang berisiko menyebabkan kejadian banjir serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan bagi melancarkan aliran air harus diberikan perhatian yang sewajarnya.

Tindakan yang proaktif ini mampu mengurangkan risiko banjir kilat. Pemantauan juga harus dilaksanakan terhdap pihak pemaju projek pembangunan supaya sentiasa menyelenggara parit, longkang, sistem pembetungan dan kolam takungan serta menjaga kebersihan kawasan pembangunan.

Mengadaptasikan konsep mengawal banjir yang dilakukan oleh negara China, iaitu dengan membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti 'sponge city', mewujudkan takungan air atau 'kota takungan pinggir sungai' seperti di Belanda serta memindahkan kampung tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan lebih tinggi antara langkah yang dilakukan oleh PBT bagi mengurangkan tragedi banjir kilat dan seterusnya mengurangkan kos kerugian yang dialami oleh penduduk setempat.

Penebangan hutan dan penggunaan tanah yang tidak terkawal seperti tiada kesudahan Kejadian banjir yang berlaku di Pahang pada tahun 2021 dianggap sebagai ‘banjir buatan’ kesan daripada tangan manusia yang memusnahkan alam demi pembangunan dan mengaut keuntungan.

Penebangan hutan tidak terkawal, aktiviti pembalakan dan perubahan guna tanah hutan di negara ini ternyata memberi impak besar bukan sahaja kepada manusia tetapi juga alam sekitar seterusnya mengundang kepada peningkatan kejadian bencana alam. Pindaan undang-undang boleh dilakukan dengan meletakkan kuasa pentadbiran tanah diletakkan di bawah kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan penerokaan hutan keterlaluan.

Selagi ada pihak yang rakus melakukan penerokaan, selagi itu rakyat akan terus berhadapan risiko bencana seperti banjir ini yang akhirnya mengorbankan nyawa, memusnahkan harta benda dan menimbulkan ancaman penyakit, masyarakat perlu mempunyai rasa bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan menyelenggara longkang, sistem perparitan di sekeliling rumah dan tempat tinggal mereka dengan kerap bagi mencegah dan mengurangkan kesan banjir.

Hal ini demikian kerana sekatan dalam sistem perparitan akibat daripada pembuangan sampah-sarap dan dedaun kering akan menjejaskan aliran air, seterusnya menyebabkan masalah banjir ketika hujan lebat. Hal ini dapat dilihat sewaktu berlakunya banjir besar di Kota Kemuning, Seksyen 17 hingga Seksyen 24 Shah Alam, Bukit Naga, Kajang dan beberapa tempat lain.

Tuntasnya, setiap individu perlu memainkan peranan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku seterusnya melibatkan kehilangan harta benda dan kehilangan jiwa. Meskipun faktor manusia mempengaruhi berlakunya banjir kilat namun demikian faktor alam semula jadi tidak boleh dipandang enteng.

Kedudukan Malaysia yang berada di di kawasan beriklim tropika secara lazimnya menerima hujan yang tinggi. Kadar taburan hujan yang tinggi di samping tempoh hujan yang hanya berlaku dua jam membawa kepada kejadian banjir kilat. Hal ini menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi. Faktor perubahan iklim turut menjadi punca berlakunya banjir kilat.

Meskipun perubahan iklim berlaku tanpa disedari, kesannya dapat dilihat dengan mata kasar dalam kehidupan seharian termasuklah kejadian banjir yang diakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa.

Pertembungan kejadian banjir daratan yang lebih ekstrem dan banjir pantai memungkinkan kejadian banjir yang lebih buruk seperti bencana bah besar pada 2014 di negeri pantai timur terutamanya di Kelantan.

Meskipun faktor alam di luar bidang kuasa manusia, namun dengan usaha dan sikap tanggungjawab dalam diri semua pihak dapat mengurangkan fenomena banjir kilat ini daripada menjadi suatu acara tahunan yang akhirnya meninggalkan kesan psikologi kepada mangsa banjir. — Majoriti

Dr. Azean Idruwani Idrus,Pensyarah Kanan, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram