SEMPENA Tahun Baharu Cina 2024, Taman Tema Sunway mempamerkan sembilan ekor naga yang bukan sahaja membawakan api tetapi juga hadir dengan magis yang tersendiri di The Lost World of Tambun, Ipoh, Perak dan Sunway Lagoon, Selangor.
Taman Tema Sunway memaklumkan kedua-dua taman temanya itu menganjurkan kempen "Be 'Long' With You" sempena Tahun Naga bermula dari 8 Januari hingga 28 Februari yang menampilkan naga besar sebagai simbol kekuatan, kuasa dan nasib baik.
Para pengunjung dijanjikan dengan pengalaman yang pasti mengujakan dengan persembahan trio Tahun Baharu Cina iaitu 'The Return of Kung Fu Dragon', 'Joyful of New Year,' dan 'The Wind of the Bloom'.
"Persembahan bagi Sambutan Tahun Baharu Cina ini adalah gabungan menarik antara seni tradisional dan gerakan unik yang pastinya bakal memberikan pengalaman berbeza dan harmoni untuk semua,"jelas Taman Tema Sunway dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Cuti akhir tahun penuh pengembaraan, magis di Sunway Lost World Of Tambun
Taman Tema Sunway menjanjikan pengalaman menakjubkan buat pengunjung.
Sembilan Naga di Taman Tema Sunway!
Destinasi percutian rekreasi dan pengembaraan sekeluarga tersohor di Malaysia, Taman Tema Sunway mempamerkan sembilan ekor naga sempena kempen "Be 'Long' With You".
Enam naga akan dipamerkan di Sunway Lost World Of Tambun iaitu, Lightning Dragon, Fossil Dragon, Air Dragon, dan Water Dragon di Luminous Forest, Lantern Dragon di pintu masuk utama cat bridge, dan Saphira Dragon.
Manakala di Sunway Lagoon, tiga naga ditampilkan termasuk seekor naga sepanjang 577 kaki (175.9 meter) yang membentuk tanglung merah di SDG walk dan seekor naga besar berwarna biru dan hijau dengan sisik berkilauan apabila terkena sinaran mentari yang akan menyerlahkan kecantikan mengagumkan di Piazza Utama.
Bagi menjanjikan pengalaman mengujakan yang akan menjentik rasa ingin tahu pengunjung, naga ke-sembilan hanya dapat disaksikan pada 10 dan 11 Februari di Sunway Lagoon.
Naga kesembilan akan tampil di langit malam dengan letusan gunung berapi serta letupan bunga api yang pastinya penuh dengan kejutan dan bakal membuka mata pengunjung.
Pesta Ong Lai di Sunway Lagoon!
Pada 10 dan 11 Februari, Sunway Lagoon bakal mengadakan pelbagai aktiviti bagi meraikan pengunjung dari semua peringkat umur sempena Pesta Ong Lai.
Antaranya adalah pasar lambak yang meriah dengan pelbagai barangan tradisional dan moden seperti hasil seni dan kraftangan hiasan Tahun Baharu Cina.
Tarian naga LED yang menarik dengan pertunjukan cahaya dan warna mempesonakan serta tarian singa yang mengagumkan melambangkan tuah dan nasib akan dipersembahkan bagi memeriahkan lagi suasana untuk menawan hati penonton.
BACA LAGI: Masa berhibur! 'Check out' 6 taman tema wajib dikunjungi musim cuti sekolah
Sunway Lagoon bakal mengadakan pelbagai aktiviti sempena Pesta Ong Lai.
“Apabila langit malam, bunga api akan menerangi persekitaran dan menghidupkan lagi suasana perayaan. Pertunjukan bunga api muzikal terbesar di Malaysia yang indah akan menandakan berakhirnya perayaan, menawarkan pengunjung pengalaman hebat dan tidak dapat dilupakan,” menurut kenyataan Taman Tema Sunway.
Para pengunjung juga boleh menikmati persembahan kebudayaan yang menonjolkan kekayaan warisan budaya di rantau ini dengan persembahan Gendang 24 Perayaan dan Opera Sichuan.
Sambutan Tahun Baharu Cina sememangnya merupakan musim perayaaan yang penuh kegembiraan dan Sunway bersedia untuk berkongsi keterujaannya bersama anda dengan kempen "Be 'Long' With You". — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram