
POLIS kini giat memburu seorang lelaki yang didakwa mengekori seorang wanita di Arcoris Mont Kiara, Kuala Lumpur selepas aksinya itu tular di media sosial sejak Khamis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 29 tahun itu selepas dia mendakwa diekori individu tidak dikenali pukul 11 pagi pada Isnin lepas.
“Siasatan awal dilakukan mendapati, suspek disyaki mengekori pengadu ke Kiara 163 di Jalan Kiara.
BACA LAGI: Mahkamah tolak pengakuan bersalah lelaki hendap Acacia di media sosial
“Ketika kejadian, pengadu berjalan bersendirian dan sempat merakam video suspek mengekorinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amihizam berkata, pengadu juga memuat naik dua rakaman video berdurasi 10 minit satu saat di media sosialnya serta menerima lebih 2,000 siar semula.
“Usaha mengenal pasti dan mengesan suspek masih diteruskan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes dan sebarang maklumat boleh disalur ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram