Status representasi ketiga Rosmah gugur 17 pertuduhan diketahui 1 Mac depan


Rosmah (kanan) menghantar representasi ketiga pada 12 Disember tahun lalu selepas representasi pertama dan kedua yang dikemuka pada 3 Mei serta 18 Ogos lalu, belum diputuskan oleh AGC.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 1 Mac depan untuk mengetahui mengenai status representasi ketiga dikemuka Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengguguran 17 pertuduhan dihadapinya.

Ia membabitkan 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima lagi berkaitan kegagalan mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim, K Muniandy membuat penetapan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan lebih masa untuk proses penelitian representasi yang diterima pada 12 Disember lalu.

BACA LAGI: Pertuduhan cacat dan kabur, Rosmah dakwa tidak dapat perbicaraan adil

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, terdapat tindakan lanjut yang perlu diambil berhubung perkara itu.

“Kita perlu mengambil kenyataan daripada beberapa individu atau saksi lain bagi melengkapkan siasatan supaya AGC boleh membuat keputusan muktamad.

“Setakat ini, ia masih di peringkat penelitian,” katanya ketika prosiding hujahan permohonan Rosmah, 73, yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan AMLA dan berkaitan LHDN.

Sementara itu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili tertuduh memohon prosiding hujahan itu ditangguhkan ke tarikh lain ekoran masalah kesihatan dihadapi anak guamnya.

“Anak guamnya tidak sihat dan beliau telah mengemukakan sijil cuti sakit malah ia telah diserahkan kepada pihak mahkamah,” katanya.

BACA LAGI: Rosmah Mansor kemuka representasi, mohon gugur 17 pertuduhan wang haram dan gagal isytihar pendapatan

Permohonan itu tidak menerima bantahan daripada pasukan pendakwa raya.

Rosmah menghantar representasi ketiga pada 12 Disember tahun lalu selepas representasi pertama dan kedua yang dikemuka pada 3 Mei serta 18 Ogos lalu, belum diputuskan oleh AGC.

Prosiding pada Selasa sepatutnya ditetapkan untuk sambungan hujahan pembelaan Rosmah bagi membatalkan semua pertuduhan dihadapinya.

Ia susulan pemfailan notis usul pada 4 Oktober 2020, supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur , antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos 2023 dengan dua saksi sudah dipanggil memberi keterangan.

Selain perbicaraan bagi kes ini, Rosmah turut sedang menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion. — The Star/ Nurbaiti Hamdan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram