[VIDEO] Penumpang pesawat tenang tidur walau kabin 'bocor' masuk air ketika penerbangan


  • Benua
  • Isnin, 04 Dis 2023

Tangkap layar video tular memaparkan air yang mencurah turun dari bahagian atas tempat duduk penumpang pesawat tersebut.

TULAR satu video baru-baru ini memaparkan kejadian agar luar biasa di dalam kabin membabitkan sebuah penerbangan melibatkan syarikat penerbangan Air India.

Menerusi klip berkenaan, kejadian memaparkan situasi berlakunya kebocoran air yang mencurah turun dari ruangan atas di tempat duduk penumpang pesawat berkenaan.

Kejadian yang dirakam dalam video itu menarik perhatian warganet yang menimbulkan tanda tanya berkenaan persoalan mengenai tahap keselamatan penerbangan tersebut.

Ini kerana keadaan itu memaparkan seolah-olah pesawat itu bocor sehingga menyebabkan terdapat air dari luar pesawat yang memasuki kabin tersebut.

Lebih membingungkan netizen, penumpang di dalam pesawat tersebut dilihat tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi cemas berhubung situasi berkenaan.

"Ini merupakan masalah teknikal. Boleh berlaku dengan mana-mana syarikat penerbangan.

"Nampaknya penumpang lebih tenang daripada individu yang menyebarkan video ini untuk memburukkan syarikat penerbangan itu...” komen seorang pengguna," tulis seorang pengguna sosial media.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna lain secara berseloroh berkata, "Ketika berada di ketinggian 32,000 kaki, penumpang perlu kekal kelihatan tenang dan selesa."

Di akhir video tersebut, juruterbang pesawat didengar memberikan makluman kepada penumpang berkenaan isu yang berlaku itu.

Dalam pada itu, Air India turut tampil mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan mengenai kejadian tersebut.

"Penerbangan AI169 yang sedang dalam perjalanan dari Gatwick London (United Kingsom) ke Amritsar (India) pada 24 November lalu telah mengalami isu pelarasan pemeluwapan yang jarang berlaku di dalam kabin.

“Beberapa penumpang kami yang duduk di barisan terjejas segera dipindahkan ke tempat duduk lain yang kosong. Kru kabin kami sentias berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselesaan penumpang.

"Air India komited terhadap keselamatan dan keselesaan penumpang di atas kapal dan kami kesal dengan kejadian yang tidak dijangka ini," menurut kenyataan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram