[VIDEO] Malaysia mungkin fail saman isu tuntutan kumpulan mengaku waris Sulu


  • Primer
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Azalina bercakap pada sidang media Kes Malaysia - Sulu ketika di Pusat Timbang Tara Antrabangsa Asia pada Jumaat. — Bernama

MALAYSIA bertindak ofensif dan tidak menolak kemungkinan untuk menyaman kumpulan mengaku waris kesultanan Sulu, susulan kerugian yang dihadapi negara berikutan tindakan undang-undang yang dikemukakan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mengkaji untuk mengambil tindakan saman memandangkan kos yang ditanggung oleh Malaysia adalah sangat tinggi.

"Kita akan membuat satu 'legal opinion' dari segi kajian sama ada kerajaan bersetuju apa tindakan perlu kita buat terhadap mereka, sama ada perlu kita saman untuk kerugian yang kita hadapi. Perjuangan belum tamat, tapi bagi Malaysia kita perjuangkan secara adil,” katanya pada sidang media Malaysia-Kes Sulu, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia pada Jumaat.

Pada Februari lepas, Azalina dilaporkan berkata kerajaan membelanjakan RM31 juta bagi kos perundangan terhadap tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah Sabah, dalam tempoh empat tahun.

Kos itu termasuk bayaran perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan yang bermula dari 20 November 2019 hingga 20 Januari lepas.

Dalam persidangan media itu, Azalina berkata, tuntutan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui proses timbang tara, boleh disifatkan sebagai ‘satu bentuk peperangan baharu’.

Beliau berkata tuntutan itu adalah satu serangan yang sofistikated dan kerajaan memberi jaminan akan melakukan gerakan secara agresif untuk ‘mematikannya’.

Katanya kerajaan mungkin akan mengambil tindakan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) jika terbukti tuntutan terbabit didalangi penipuan.

"Jaminan kerajaan adalah kami akan lawan habis-habisan kerana tidak akan berkompromi dengan mana-mana ugutan. Kita kena matikan segala gerakan yang dilakukan oleh mereka daripada aspek pendanaan dan daripada aspek tuntutan.

"Kita negara berdaulat, kena ikut undang-undang. Kalau mereka betul-betul hendak membuat tuntutan, mereka patut menerima bahawa Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, sudah memutuskan tiada klausa perjanjian timbang tara yang sah wujud," katanya.

Sementara itu Azalina berkata, pelabur dana yang terlibat dalam kes itu dipercayai adalah dari Amerika.

"Kabinet telah diberi maklum tetapi kita masih nak siasat. Kita ada bukti tapi ia tidak menyeluruh, jadi kita mahu betul-betul mengesahkannya, banyak catatan adalah dari Amerika. Sebab itu kita nampak dalam kita punya laman web, viewers banyak dari Amerika.

"Kita tak tahu mereka ni yang dari Amerika yang seronok nak tengok negara-negara Asean terlibat dalam proses... saya tak tahu, tapi ada link yang banyak fokus di Amerika,” katanya sambil menambah, perkara itu masih dalam siasatan dan kajian.

Pada 6 Jun, Malaysia melakar kejayaan bersejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan kumpulan Sulu.

Award akhir yang diperkatakan itu dikeluarkan Stampa, seorang penimbang tara Sepanyol pada 28 Februari 2022 kepada lapan individu terbabit.

Malaysia sekali lagi memperoleh kemenangan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun lepas menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara itu yang bernilai AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir berkenaan, Kumpulan Sulu itu dilaporkan telah mencuba untuk merampas aset syarikat petroleum Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda serta menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, Kumpulan Sulu membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol itu untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajakkan oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Azalina, Sulu, award, saman rugi, kos,