Tuntutan Sulu: Malaysia mahu Mahkamah Madrid jatuhkan hukuman penjara terhadap Stampa


Azalina (depan, tengah) ketika berada di Mahkamah Jenayah Madrid, Sepanyol pada Isnin. — Twitter/Azalina

MALAYSIA mahu Mahkamah Madrid, Sepanyol menjatuhi hukuman penjara ke atas Gonzalo Stampa yang didakwa menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikan beliau sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan mahkamah dalam kes itu amat penting kerana ia memberikan kekuatan yang lebih kepada kerajaan Malaysia untuk mematikan semua tuntutan Kumpulan Sulu yang disifatkan amat merepek.

"Keputusan ini juga sebagai satu jaminan untuk kita mematikan sebarang tuntutan (sama) di mana-mana negara yang berkemungkinan timbul selepas ini.

msg1050426791-20195

Azalina (depan) bersama pelajar-pelajar Malaysia di Sepanyol pada Isnin. — Twitter/Azalina

"Keduanya, saya berharap kalau boleh dia dipenjara bukan sahaja didenda sebab perangai dia yang betul-betul kurang ajar dan biadap kepada Malaysia,” katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas menghadiri prosiding perbicaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid, Sepanyol pada Isnin.

Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan award akhir berjumlah 14.9 bilion Dollar Amerika Syarikat (RM62.59 bilion) kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dan dalam usaha untuk menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg serta Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram