Mahkamah Belanda putuskan waris Sulu tidak boleh rampas aset Malaysia


  • Primer
  • Selasa, 27 Jun 2023

Mahkamah rayuan di Belanda menolak permohonan waris kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan award sebanyak RM62.59 bilion. — Gambar Hiasan

MAHKAMAH rayuan di Belanda menolak permohonan lapan individu yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan award sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang dimenangi mereka terhadap kerajaan Malaysia.

"Mahkamah menolak permintaan warga Filipina (waris kesultanan Sulu) yang menuntut untuk melaksanakan anugerah timbang tara tersebut," lapor penghakiman yang dikeluarkan menerusi laman web mahkamah pada Selasa.

Pada 2019, kumpulan itu membawa perkara berkenaan kepada penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Stampa, yang dilantik oleh penuntut itu pada 28 Februari 2022 membuat keputusan yang berpihak kepada mereka dan mengeluarkan award akhir sebanyak RM62.59 bilion terhadap Malaysia hasil daripada timbang tara tidak sah kepada lapan pihak yang menuntut walaupun sebelum ini pembatalan pelantikannya sebagai penimbang tara oleh mahkamah Sepanyol.

Kumpulan itu kemudian membawa kes berkenaan ke Mahkamah Paris, Perancis dan pada 14 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap penguatkuasaan award itu. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram