
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memasang hajat untuk mengembangkan lagi aktiviti solat berjemaah di masjid di seluruh Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Ia susulan kejayaan sebuah kempen dan inisiatif yang dimulakan oleh selebriti terkenal tanah air, Alif Satar dalam mengajak orang ramai untuk mendirikan ibadah subuh secara beramai-ramai di masjid seperti solat Jumaat.
Kempen yang menggunakan tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat itu semakin mendapat sambutan ramai sejak dimulakan pada Disember 2023 terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Sebahagian peserta yang mengimarahkan program Subuh Macam Jumaat. — Twitter/Dr Zaliha
Justeru, Dr Zaliha menerusi ciapannya di Twitter (X) meluahkan kekagumannya terhadap keberkesanan inisiatif tersebut dalam pembangunan ummah.
Katanya, inisiatif itu juga perlu terus disokong dan diteruskan lebih-lebih lagi apabila sudah memasuki tahun 2024.
"Memulakan tahun baharu, 2024, dengan bersama-sama menyokong #GengSubuhMacamJumaat.
Aktiviti solat berjemaah yang turut dihadiri oleh Dr Zaliha dan Alif Satar. — Twitter/Dr Zaliha
"Saya kagum melihat ramai orang yang hadir pada aktiviti ini, khususnya anak muda. Inisiatif yang dimulakan oleh saudara Alif Satar ini perlu dipuji dan disokong oleh semua," tulisnya.
Pada masa sama, rata-rata netizen turut memberikan maklum balas positif dan bersyukur terhadap inisiatif tersebut.
"Terbaik Dr Zaliha atas usaha untuk mengembangkan keseluruhan masjid di Wilayah Persekutuan," komen @mazrimono.
"Alhamdulillah. Inisiatif yang sangat bagus Dr Zaliha, teruskan," tulis @jimi_supian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram