Tiada sambutan ambang tahun baharu tanda solidariti kepada Palestin, mangsa banjir


  • Primer
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024. — Gambar fail

KERAJAAN Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini ditindas dengan kejam oleh rejim zionis Israel dan menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

"Di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mungkin diadakan program sambutan yang bersesuaian dengan keadaan setempat," katanya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) pada Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 pada Ahad ini di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.

KUALA LUMPUR, 29 Dis -- Umat Islam membaca doa sebelum menunaikan solat Jumaat terakhir bagi tahun 2023 di Masjid Negara hari ini. Jemaah turut menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia dan seluruh mangsa banjir yang terjejas.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 dianjurkan sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi. — Bernama/ Gambar hiasan

Mengulas status 130 stesen pemancar komunikasi yang terjejas akibat banjir di Sabah, Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu Fahmi berkata, setakat ini, sebanyak 53 stesen sudah beroperasi semula manakala selebihnya sedang dibaik pulih.

"Saya harap dalam sehari dua, jumlah ini akan berkurangan dan kawasan yang terkesan kita akan kaji sama ada ia adalah kawasan berulang dari segi kerosakan kepada menara telekomunikasi atau kawasan baharu," katanya.

Fahmi juga berkata, beliau akan mengarahkan agar site hardening dilakukan di kawasan terjejas dengan menaikkan peralatan komunikasi ke paras lebih tinggi bagi mengelakkan insiden itu berulang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram