SEORANG warga emas yang tinggal bersendirian ditemui mati di rumahnya dalam kejadian di Jalan Kerdas 3, Kampung Kerdas, Gombak, Selangor pada Rabu.
Mayat wanita berusia 79 tahun itu ditemui oleh pihak polis selepas rumahnya cuba dibuka oleh pihak berkuasa untuk memeriksa keadaan mangsa.
Terdahulu, pihak polis dimaklumkan oleh jiran terdekat bahawa mereka terhidu bau bangkai datang dari arah rumah mangsa dengan mangsa dikenali sebagai Cik Normah sudah beberapa hari tidak dilihat keluar dari rumah.
Facebook Warga Wilayah melaporkan, sebaik rumahnya berjaya dipecah masuk oleh pasukan polis, arwah didapati telah meninggal dunia dan di sampingnya seekor kucing yang telah mati bersama tuannya.
Sementara itu, menurut maklumat daripada orang terdekat, Nurlizaain, warga emas itu difahamkan mengalami masalah pendengaran.
"Sebelum ini, berkali-kali dia tanya nak pergi mana, berkali-kali juga beritahu mahu pergi berniaga, cakap perlahan dengan dia memang tak dengar, perlu cakap kuat baru dia dengar. Dapat rasa betapa sunyi semasa hidupnya," tulisnya.
Dalam pada itu, menurut ketua Kampung Kerdas, Tok Nasa Md, mayat wanita berkenaan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Changkat, Gombak pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
