SATU kemalangan terjadi membabitkan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda (4X4) dan lori yang bertembung di Jalan Rakit, Kota Marudu, Sabah pada petang Isnin.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik menerusi media sosial menunjukkan nahas tersebut berlaku pada waktu hujan lebat.
Pada awalnya, sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max secara tiba-tiba memasuki lorong arah bertentangan yang berada di sebelah kanannya sehingga merempuh sebuah lori tiga tan yang datang dari arah hadapan.
Pelanggaran yang kuat mengakibatkan bahagian hadapan kereta berkenaan mengalami remuk teruk sehingga mengeluarkan kepulan asap manakala barangan sawit yang dibawa lori berkenaan turut jatuh bergelimpangan ke jalan raya.
Susulan kejadian, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang menerima panggilan pada pukul 4.43 petang Isnin terus bergegas ke lokasi berkenaan.
Menurut bomba, 10 mangsa terlibat dalam kemalangan ini iaitu tiga tersepit dalam kenderaan manakala tujuh lagi dikeluarkan oleh orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, seorang mangsa, Rebecca Grace Tintingon, 9 tahun maut manakala sembilan lagi cedera dalam nahas terbabit.
Katanya, Rebecca Grace yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan di unit kecemasan pada 2 pagi, Selasa.
Bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersebut dalam nahas dua kenderaan di Kota Marudu.
Pemandu berusia 48 tahun yang juga ibu kepada Rebecca Grace mengalami kecederaan termasuk patah tulang.
Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang berada dalam 4X4 itu turut mengalami patah kaki manakala empat penumpang lain cedera ringan.
"Pemandu lori itu juga turut mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang paha manakala dua lagi kelindan cedera ringan," katanya.
Zairolnizal berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan 4X4 dari Penampang itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki arah bertentangan dan merempuh lori berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram