![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/12/26/2458129.jpg)
SEORANG lelaki sempat merakam detik-detik cemas apabila sebuah bangsal menyimpan bot hanyut dibawa arus di muara Sungai Kelantan pada Selasa.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Abe Mad Mung Tumpat, bangsal yang berstruktur kayu itu dilihat dalam keadaan separuh tenggelam ketika hanyut sebelum melanggar jambatan antara Pulau Beluru dengan Teluk Renjuna di sungai berkenaan.
Dalam video sama, turut dilihat beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan yang didakwa sedang menjalankan operasi menyelamatkan bangsal tersebut.
Pada masa sama, pemilik video terbabit mendakwa bahawa APM sebelum itu sudah mengalihkan bangsal itu ke tempat selamat namun dikatakan ia hanyut sekali lagi ketika itu.
"Tadi APM dan orang awam dah tolong tolak bangsal itu ke tepi darat untuk elakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku, memang berbahaya," dakwanya.
Dalam rakaman berdurasi lebih empat minit itu, bangsal berkenaan dilihat turut melanggar sebuah jeti yang berada di tepi sungai tersebut.
"Abih lekat pulop (langgar jambatan pula)," katanya dalam rakaman berkenaan.
Bukan itu sahaja, pemilik video itu sempat merakam detik-detik ketika pelanggaran bangsal dengan jambatan berkenaan.
Namun, tiada lagi kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku ketika kejadian setakat ini.
Bagaimanapun, belum ada juga sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram